Oleh Mohd Nasir Awang
PILIHAN Raya Kecil Dun Kuala Besut, Terenganu semakin menuju kemuncak. Kedua-dua parti bertanding, Barisan Nasional (BN) dan PAS semakin merancakkan gerakerja kempen masing-masing.
Setakat
ini belum ada apa-apa yang boleh disifatkan sebagai pendekatan baru
dalam kempen BN. Selaku parti pemerintah yang memiliki berbagai
kelebihan berbanding PAS, BN nampaknya kekal selesa memanfaatkan kaedah
dan taktik lama
Kesemua taktik dan pendekatan itu berkait rapat dengan tabiatnya memanipulasi kuasa dan kewangan kerajaan untuk kepentingan politik partinya.
Pertama, BN terus memancing undi rakyat dengan menabur janji pembangunan dan pelaksanaan projek segera. Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turun sebagai Timbalan Perdana Menteri merasmikan peletakan batu asas dan pecah tanah projek pembinaan 72 unit pangsapuri empat tingkat, di Kampung Lay Out Tok Saboh.
Dengan
kos pembinaan RM10.35 juta, projek itu akan menjadi tempat tinggal 72
keluarga, termasuk 46 keluarga mangsa air pasang dan ombak besar di Dun
berkenaan. Setiap unit bernilai RM100,000 itu akan diberikan kepada
setiap keluarga secara percuma.
Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani pula meluluskan pembinaan pasar
nelayan di Jeti Kuala Besut, yang sekali gus menjadi pasar pertama
seumpamanya di Terengganu. Menterinya yang turun menabur janji itu
mengatakan kerajaan akan membina pasar dengan kos RM200,000 itu dalam
masa terdekat.
Di
tengah-tengah kerancakan kempen inilah juga Menteri Pendidikan II
mendapat idea memilih dua sekolah di Kuala Besut untuk program integrasi
kementeriannya dengan Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan, yang
dipanggil Brain Bee.
Secara
kebetulan pula, ketiga-tiga janji besar ini berlaku di hari sama dan
turut melibatkan kawasan sama di Besut. Giliran menteri-menteri lain
mengumumkan projek kementerian masing-masing dijangka akan
bersilih-ganti dalam tempoh kempen berbaki seminggu lagi ini.
Kedua, BN memanipulasi tahap hidup rakyat dengan umpan bantuan segera. Sepertimana lazimnya di setiap kesempatan pilihan raya kecil sebegini, BN akan memanfaatkan kuasa dan kewangan kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan kepada hampir setiap sektor masyarakat.
Tidak
cukup dengan beberapa skim bantuan yang telah sedia dilaksanakan
seperti BR1M, TR1M, dan entah apa-apa lagi, diwujudkan pula berbagai
nama bantuan mengikut jabatan atau agensi kerajaan berasingan. Kumpulan
nelayan diberikan bantuan perkakasan nelayan, khalayak petani pula
dengan input pertanian, begitulah juga yang lain-lainnya.
Ketiga,
ada maklumat mendakwa wujud unsur ancam-ugut terhadap petugas PAS di
peringkat akar umbi. Dikatakan ada unit peti undi (UPU) PAS sukar
mendapat komitmen daripada petugas tempatan, sedangkan sekian lama
individu-individu terbabit adalah aktivis setempat yang membuat
kerja-kerja parti secara terbuka.
Antaranya,
masih ada UPU PAS yang gagal menyenaraikan petugas ‘polling and
counting agent’, apabila petugas sedia ada enggan memberikan kerjasama
di atas sebab-sebab yang sangat mencurigakan. Difahamkan mereka ini
telah ditekan dengan ‘kata dua’ oleh pihak tertentu agar tidak
melibatkan diri dengan sebarang gerakerja kempen PAS, atau bakal
berdepan kesulitan di dalam pencarian rezeki mereka.
Sejauh
manakah dakwaan ini benar, hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Namun,
logiknya juga ada. Bagi masyarakat di Dun Kuala Besut yang rata-rata
hidup kais pagi, makan pagi, sebarang ancaman untuk menutup periuk nasi
adalah sesuatu yang paling ngeri untuk diimpikan. Kesan daripada keadaan
itu sedang dirasai PAS.
Keempat, BN masih mengamalkan taktik menyerang peribadi calon lawan. Walau pun calon BN dalam kenyataan kepada media sejurus selepas penamaan calon Jumaat lalu menyatakan akan melaksanakan kempen secara gentleman dan tidak akan menyerang peribadi calon parti lawannya, sikap dan pendirian serupa nampaknya tidak dikongsi para pendukung BN lain.
Di
hari sama juga khabarnya calon PAS, Azlan @ Yusof Endut a.k.a Che Long
dikutuk dan dihina. Taraf pendidikannya yang ‘hanya lulus SPM’ dijadikan
bahan tutur paling laris di kalangan jentera kempen BN. Bahkan, ada di
kalangan pemimpin masyarakat setempat melabelkan beliau sebagai seorang
calon yang “bodoh”, “tidak pass periksa” dan tidak layak dipertemukan
dengan calon BN yang berpendidikan tinggi itu.
Che
Long juga disifatkan seorang bekas ahli Umno yang khianat dan mempunyai
rekod disiplin yang buruk, sehingga beliau terpaksa dipecat daripada
Umno. Sedangkan ‘rekod buruk’ dimaksudkan itu hadir ke Besut bersama
satu fenomena penghijrahan beramai-ramai ahli Umno ke dalam PAS selepas
September 1998 lalu.
Selain
pemerhatian-pemerhatian di atas, pelaporan media elektronik dan cetak
arus perdana yang sangat tidak telus dan berat sebelah turut menambah
ketempangan dalam proses demokrasi negara ini.
Kesemua pemerhatian disebutkan itu bukanlah perkara baru. Ia hakikat yang telah sekian lama diamalkan BN pada setiap kali parti itu berdepan pilihan raya, umum atau kecil. Ertinya, biar pun zaman semakin melangkah ke depan, taktik dan strategi kempen BN tetap kekal di takuk lama. (Detikdaily)
E-Buku IH-76: PRK Kuala Besut
No comments:
Post a Comment