Oleh Prof Dr Mohammad Agus Yusof
PADA
11 Februari 2011, Hosni Mubarak meletakkan jawatannya sebagai Presiden
Mesir selepas 18 hari rakyat menunjuk perasaan menentang 30 tahun
pemerintahannya. Semasa kejatuhan beliau, rakyat dan tentera berpimpinan
tangan melaungkan slogan ‘rakyat dan tentera seiring bersama’.
Pada
25 Jun 2012, Morsi dipilih sebagai Presiden Mesir untuk menjaga
kehidupan 84 juta rakyatnya. Rakyat dan tentera juga bergembira kerana
mengharapkan satu perubahan baru berlaku di negara itu. Morsi
dibanggakan sebagai seorang Hafiz dan mempunyai daya intelektual yang
tinggi. Wataknya dan ilmunya digambarkan cukup sesuai untuk menggantikan
kezaliman rejim Hosni Mobarak. Maka, rakyat Mesir gembira dengan
pemimpin barunya ini, namun kegembiraan itu tidak lama.
Pada 3
Jun 2013, 7 petang waktu Mesir, pemimpin tentera, Andel Fattah al-Sisi
telah mengisytiharkan penyingkiran Morsi, menggantungkan perlembangaan
dan melantik Ketua Mahkamah Perlembagaan Agung, Adly Mansour, sebagai
ketua kerajaan sementara. Saya sedih dengan kejatuhan kerajaan Morsi dan
Ihwanul Muslimim ini. Kesedihan ini bertambah lagi apabila mengenangkan
nasib pemimpin utamanya sebelum ini yang dihukum gantung seperti Hassan
Albanna, Syed Khutub dan lainnya.
Kembali kepada rampasan
kuasa di Mesir, Abdel Fattah semasa mengarahkan tentera mengambil alih
kerajaan Morsi berkata beliau terpaksa mengambil tindakan sedemikian
kerana Morsi semasa pemerintahannya hanya menjaga kebajikan orang Islam
dan Ikhwanul Muslimin sahaja, tanpa mempedulikan kebajikan rakyat
sekular dan lainnya. Fatteh menafikan tindakan beliau adalah rampasan
kuasa, sebaliknya menyatakan tindakan tentera adalah untuk menegakkan
kembali demokrasi. Dakwaan Fatteh itu salah kerana dalam apa keadaan
sekalipun, campur tangan tentera adalah rampasan kuasa.
Di
pihak rakyat pula, mereka terlibat dalam demonstrasi itu kerana hidup
dalam keadan yang cukup resah. Mereka mengharapkan ‘revolusi’ membawa
kesejahteraan hidup, tetapi apa yang mereka perolehi dari kerajaan Morsi
adalah impian revolusi yang kosong: kos hidup, kadar pengangguran dan
kadar inflasi yang tinggi, bekalan letrik yang selalu terputus dan harga
minyak yang meningkat. Itulah kegagalan Morsi yang diambil kesempatan
oleh pihak sekular untuk menjatuhkannya dengan mendapatkan bantuan dari
luar. Bantuan itu adalah dari Israel, AS dan juga kaum Yahudi yang
merata di bumi ini. Mereka ini mahu melihat kejatuhan kerajaan Islam
pimpinan Morsi yang cukup menakutkan mereka.
Mereka takut
kepada Morsi kerana semasa berlaku kebangkitan Palestin dua tahun yang
lalu, Morsilah yang membuka semula sempadan Gaza yang ditutup semasa
pemerintahan Hosni Mubarak. Tujuan Morsi adalah untuk memberi laluan
kepada rakyat Palestin berhubung dengan dunia luar supaya mereka tidak
terkurung di bumi sendiri. Morsi juga bertindak menutup hubungan
diplomatik dengan Syria dan merapatkan hubungan dengan Turki yang juga
Islamis. Hubungan Morsi yang baik dengan Racip Tayep Erdogan, Perdana
Menteri Turki yang juga Islamis ini cukup membimbangkan Barat dan
Yahudi.
Oleh sebab itulah, apabila Morsi jatuh, Asad di Syria
gembira, raja Arab Saudi gembira dan beberapa negara Islam lainnya yang
autokratik juga turut gembira. Mereka gembira sepertimana Israel, AS dan
Yahudi. Hanya negara Turki secara jelas mengutuk tindakan tentera ini.
Negara-negara demokratik Eropah lainnya sekadar menyatakan tidak setuju
dengan campur tangan tentera, tetapi tidak pun menggunakan istilah
rampasan kuasa tentera. Begitulah!
Apa pengajaran dari kisah di
atas? Satu yang pasti ialah jangan percaya demokrasi cara Amerika dan
negara Barat lainnya. AS, Yahudi dan musuh-musuh Islam hanya bercakap
tentang demokrasi, tetapi mereka sendiri tidak mahu menerima keputusan
rakyat melalui demokrasi, malah mereka mengkhianatinya. Oleh sebab
itulah, kita tidak boleh biarkan dalam apa keadaan sekalipun, unsur luar
memasuki kancah politik negara kita kerana demokrasi dari luar selalu
menghancurkan, bukan sahaja dalam kes di Mesir, tetapi juga di
negara-negara yang dijanjikan oleh Barat seperti Afghanistan dan
Iraq—demokrasi di dua negara itu mati sehingga sekarang dengan puluhan
rakyat terbunuh setiap bulan. Sejarah juga menunjukkan negara Barat
hanya menutup mata apabila demokrasi dicabul setelah FIS menang di
Algeria, Hamas menang di Palestin dan terkini Ikhwan di Mesir.
Apa yang merisaukan saya dengan tragedi di Mesir ini? Banyak
kerisauannya. Antaranya, saya bimbang rakyat Mesir juga akan menerima
nasib yang sama seperti rakyat Palestin atas pilihan dan kerakusan
mereka sendiri menggulingkan kerajaan Ikhwanul Muslimin. Saya risau
tentang keselamatan rakyat Palestin setelah Gaza ditutup. Saya bimbang
jika berlaku perang saudara di Mesir dan yang berperang ialah Islam vs
Islam. Saya bimbang jika rampasan kuasa ini memberi semangat kepada
tentera di negara lain untuk melakukan kudeta ke atas kerajaan sah yang
dipilih rakyat secara demokratik.
Dengan kerisauan di atas,
marilah kita belajar dari tragedi ini. Banyak iktibar yang boleh kita
ambil.
Pertama, kerajaan jangan mendiskriminasikan rakyat dari segi
kehidupan kerana ini boleh menimbulkan kekecewaan dan kemarahan.
Kedua,
kerajaan perlu bijak mengurus perbezaan pandangan dan jangan terlalu
beremosi dalam berpolitik.
Ketiga, kerajaan perlu cekap dan adil dalam
mengurus pengagihan ekonomi negara supaya tidak ada segmen masyarakat
yang berasa terpinggir.
Keempat, kerajaan tidak boleh membiarkan perut
rakyat kosong kerana ini akan mengundang demonstrasi.
Dan kelima, paling
penting, apapun pendirian kita dalam politik, jangan mengundang campur
tangan luar.
Semoga Malaysia sentiasa dalam keadaan aman dan
damai. Belajar dari pengalaman negara ini dan jangan bergaduh hanya
kerana bertuhankan parti. Fikir dulu sebelum bertindak, bukan untuk lima
tahun tetapi untuk selamanya. (http://networkedblogs.com/MPLWm)
Lihat sebelum ini...
E-Buku IH-75: Dr Mohamed Mursi, Mujahid Akhir Zaman.
No comments:
Post a Comment