Wednesday, July 24, 2013

Fatwa Haram Ratu Cantik: SIS Hentikan Provokasi -JAKIM






Jawi buka kertas siasatan wanita Islam degil tanding ratu cantik - Bernama

Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membuka kertas siasatan berhubung peserta beragama Islam yang tetap berkeras bertanding merebut gelaran Miss World Malaysia 2013.
Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 7, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, kerana menghina agama Islam.

Di bawah Seksyen 7, akta berkenaan, sesiapa yang didapati melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Sebagai agensi penguatkuasa agama, Jawi akan menjalankan siasatan lanjut sekiranya terdapat bukti serta keterangan yang mencukupi.
"Pendakwaan akan dibuat terhadap mereka yang terbabit di Mahkamah Syariah," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Fatwa mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik diwartakan pada 8 Feb 1996 mengikut Akta Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 yang memutuskan bahawa menyertai atau menganjurkan atau menyumbang apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik adalah haram dan berdosa bagi orang Islam.

Berdasarkan laporan akhbar hari ini, peserta terbabit menyatakan kekecewaan mereka dengan fatwa yang mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik.

"Oleh itu, kenyataan itu (kecewa dengan fatwa) dianggap menghina Islam," katanya.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan Sister In Islam (SIS) supaya menghentikan provokasi dan spekulasi terhadap isu fatwa pengharaman ratu cantik.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata umat Islam juga dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan kenyataan seumpama itu kerana kenyataan atau alasan yang dikeluarkan tidak berasas mengikut pandangan syarak dan tidak merujuk kepada undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Tidak timbul isu diskriminasi berasaskan gender, pilih bulu atau sebagainya jika kita benar-benar memahami nas-nas syarak mengenai hukum itu.
"Dalam membicarakan persoalan hukum hakam Islam, semua pihak khususnya SIS perlu ingat bahawa ia tidak boleh dibahaskan sewenang-wenangnya oleh golongan yang tidak berkelayakan dalam bidang agama kerana kenyataan yang dikeluarkan golongan tidak berkelayakan ini menimbulkan pelbagai kacau bilau dan salah faham terhadap ajaran Islam sehingga mencalar maruah agama dan umat Islam seluruhnya," katanya. - Bernama, 23 Julai, 2013.Bernama, 23 Julai, 2013.

No comments:

Post a Comment