Wednesday, July 24, 2013

'Hit N Run' Muslimat Di Hari Terakhir



KUALA BESUT: Hari terakhir kempen PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.01 Kuala Besut dimeriahkan lagi dengan kewujudan 'gelombang hijau' muslimat di seluruh kawasan mengundi.

Jentera kempen muslimat berpakaian serba hijau berdiri di tepi-tepi jalan utama sambil mengedarkan risalah kempen dan poster calon PAS, Azlan Yusof atau Che Long kepada kenderaan yang lalu-lalang.

Program yang dinamakan 'Hit N Run'anjuran Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) itu bermula jam 8.30 pagi tadi dan dijangka tamat pada jam enam petang selepas selesai melawati kesemua tujuh unit peti undi (UPU) tidak termasuk satu UPU di Pulau Perhentian.

Pelbagai respons dapat dilihat daripada pemandu kenderaan yang melewati mereka. Ada yang membunyikan hon tanda memberikan sokongan dan mengambil risalah yang diedarkan dan ada juga yang berlalu begitu sahaja. Sementara beberapa kumpulan berdiri di sepanjang jalan utama mempamerkan poster calon, satu kumpulan lagi mengadakan ceramah bergerak menaiki pacuan empat roda.

Enam orang penceramah bergilir-gilir merayu undi menggunakan pembesar suara antaranya Ketua Penerangan DMPP Aiman Athirah Al Jundi, ahli jawatankuasa kerja DMPP Normala Sudirman dan Kintan Man serta ahli jawatankuasa DMP Johor Anis Afida Mohd Azli.

Mereka mengajak pengundi-pengundi keluar mengundi pada esok hari dan memilih Che Long bagi memenangkan PAS. Cara ini menarik perhatian penduduk dan pengguna jalan raya. Di sepanjang jalan, poster-poster calon serta bendera-bendera PAS dan BN semakin bertambah. Tempoh berkempen yang dibenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan berakhir sebelum jam 12 tengah malam ini. (Hrkh)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-76: PRK Kuala Besut

E-Buku IH-76: PRK Kuala Besut

No comments:

Post a Comment