Thursday, July 18, 2013

Kenapa Pengundi Kuala Besut Mesti Pilih PAS

by  Dr Azman Ibrahim,






Dengan memilih PAS, kedudukan bilangan kerusi di Dun Terengganu akan menjadi seimbang 16:16 antara PR dan BN.

Sekalipun tampuk pentadbiran negeri tidak akan bertukar dengan munculnya angka 16:16 sebagaimana yang dicanangkan kepimpinan Umno, kedudukan genting bagi Umno/BN ini dengan sendirinya akan menjadi faktor pendesak semulajadi untuk BN menunaikan janji-janjinya yang ditabur sepanjang kempen.

Kita memaklumi ‘ketulusan’ Umno berkhidmat kepada rakyat adalah demi kelangsungan kuasa dan undi, projek-projek yang telah diletakkan batu asas sepanjang kempan PRK walaupun dikatakan perancangannya telah lama, cuma ‘kebetulan’ berlakunya kematian wakil rakyat, hakikatnya adalah ‘perletakan batu asas pancing undi’.

Perlaksanaannya? Belum tentu! Kalahnya BN dalam PRK Kuala Besut ini akan memberi kekuatan  jaminan untuk rakyat Kuala Besut melihat tegak ‘sengoti’ Sekolah Kebangsaan Alor Peroi dan Rumah Pangsa Mampu Milik Tok Saboh sebagaimana dijanjikan, jika hal sebaliknya, menangnya BN akan menjadikan mereka selesa, lena tidur dan persetankan dengan segala janji-janji yang telah ditabur. Semaklah rekod-rekod perlaksanaan janji BN dalam beberapa siri PRK sebelum ini.

Mudah kata, undi PAS di Kuala Besut, rakyat tak akan rugi apa-apa.

Tentunya ada yang tak bersetuju dengan pandangan di atas, sebaliknya berpendapat dengan 16:16, Kuala Besut akan mencatat sejarah baru! PR akan memerintah Terengganu.

Nah! Ini pastinya lebih baik sebab ianya akan memberikan peluang kepada PR Terengganu melaksanakan janji-janji manifesto yang telah dibentangkan kepada rakyat.

Siapa yang tidak mahu masalah tanah diselesaikan, pinjaman Yayasan Terengganu dimansuhkan, bonus tahunan untuk warga emas yang tidak berpencen, cuti bergaji penuh 30 hari untuk kakitangan awam yang kematian suami, 17,000 peluang pekerjaan, pengecualian cukai pintu rumah kediaman, dasar merakyatkan ekonomi, bekalan air percuma bagi 20 meter padu dan beberapa lagi janji manifesto PAS Terengganu yang terhalang perlaksanaannya disebabkan angka 15:17.

Seluruh pencinta keadilan dan kesaksamaan akan menyanjung tinggi dan berterima kasih kepada para pengundi Kuala Besut apabila anda menjadi perintis kepada perubahan ini.

Undilah PAS kerana terbukti BN gagal mengubah taraf hidup rakyat Kuala Besut.

Dengan bajet tahunan Terengganu yang mencecah angka RM2 bilion, satu jumlah bajet yang tertinggi antara negeri-negeri di semenanjung, tetapi rata-rata rakyat Terengganu secara amnya dan Kuala Besut fokusnya masih dihimpit kemiskinan dan kemiskinan tegar khusunya rakyat di sekitar daerah mengundi Seberang Barat Luar dan Tok Saboh di Kuala Besut.

Masalah kemiskinan ini tidak akan selesai hanya dengan hanya perletakkan batu asas projek dan pengagihan anak ayam.

Tambah mendukacitakan apabila MB memberi respon sinis terhadap isu kemiskinan ini dengan menuduh bahawa rumah-rumah buruk milik rakyat miskin adalah rumah orang PAS!

Tidak timbul sebenarnya isu orang PAS atau Umno bila kita membincangkan berkenaan sosio-ekonomi rakyat apatah lagi seorang MB yang sepatutnya menjadi MB bagi rakyat dan negeri Terengganu, bukan MB untuk orang-orang Umno sahaja.

Isunya bagaimana kekayaan negeri boleh dimanfaatkan secara optimum supaya status negeri Terengganu sebagai negeri dengan bilangan rakyat miskin tegar yang kedua tertinggi di Malaysia mampu diubah.

Dengan makna lain bagaimana sumber kekayaan ini boleh dinikmati oleh keseluruhan rakyat secara adil dan telus.

Calon PAS, Che Long mempunyai rekod kebersamaannya dengan penduduk setempat pada sebahagian besar tempoh hidupnya.

Walaupun dicanangkan oleh tukang-tukang kempen BN calon PAS tak berpendidikan tinggi, beberapa kelebihan dan ‘aset’ semula jadi beliau perlu dipertimbangkan dengan adil oleh pengundi.

Berlatarbelakangkan seorang kontraktor kelas A serta usahawan setor kayu yang berjaya, seorang yang beragama dan terus tekun mendalami ilmu agama, Che Long dikenali sebagai insan dermawan yang suka membantu masyarakat.

Kekayaan anugerah Ilahi kepadanya menerusi kejayaan usahaniaga tidak dihabiskan untuk diri dan keluarganya semata-mata.

Hampir tidak ada program parti di sekitar Besut yang tidak menerima sumbangan Che Long.

Jumlah masjid dan surau yang menerima sumbangan beliau juga sangat banyak. Belum lagi termasuk sumbangan-sumbangan kebajikan yang lain.

Beliau lahir di Kuala Besut, membesar di Kuala Besut, bersekolah di Kuala Besut atau istilah orang tempatan, sentiasa ‘bertumah’ di kampung sepanjang masa.

Suka duka, susah senang, jatuh bangun masyarakat Kuala Besut adalah sebahagian dari kehidupan Che Long… (Hrkh)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-76: PRK Kuala Besut

E-Buku IH-76: PRK Kuala Besut

No comments:

Post a Comment