Oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mesir: Wajah sebenar Amerika terdedah
SAYA membaca berita penahanan bekas Al-Mursyidul Am khwanul Muslimin,
Sheikh Muhammad Mehdi Akif oleh tentera Mesir dengan penuh kesal dan
simpati. Beliau yang sudah berusia lebih 80 tahun sewajarnya tidak perlu
ditahan sedemikian rupa, apalah sangat kudrat seorang tua yang sudah
uzur untuk menentang kekuatan tentera Mesir?
Teringat saya pertemuan
dengan beliau ketika beliau menziarahi kami di Kelantan tahun lepas.
Pada waktu itu turut menyambut beliau ialah Almarhum Ustaz Yahya Othman
yang juga telah uzur namun menggagahkan dirinya untuk meraikan kehadiran
orang penting di dalam gerakan Ikhwanul Muslimin tersebut. Hakikatnya
inilah dia wajah sebenar Amerika dan Israel. Merekalah yang melaungkan
demokrasi dan merekalah yang menodainya.
Morsi ditabalkan sebagai
presiden melalui pilihanraya yang sah bukan melalui revolusi jalanan,
sewajibnya beliau diberikan peluang untuk mentadbir sehingga tamat
penggal. Namun, musuh-musuhnya tidak senang duduk dan tidak mungkin
dapat membiarkan pentadbiran Morsi berjalan lancar. Justeru tidak pelik
jika Amerika yang kononnya selama ini menjadi juara demokrasi tiba-tiba
menyokong rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera di Mesir.
Tidak
terkecuali pihak yang memberikan sokongan ialah negara-negara yang
terkenal selama ini menjadi alat Amerika di Timur Tengah. Allah
SWT seringkali mengingatkan kita di dalam Surah al-Fatihah yang kita
baca di dalam solat bahawa golongan Yahudi dan Nasrani ialah golongan
yang sesat dan dimurkai. Padahal Allah SWT boleh menggunakan kalimah
Yahudi dan Nasrani di dalam surah tersebut, namun ia tidak berlaku.
Allah SWT menggunakan kalimah yang menandakan sifat mereka iaitu
golongan yang sesat dan golongan yang dimurkai.
Ia jelas menunjukkan
bahawa sekalipun Yahudi dan Nasrani di zaman Rasulullah SAW telah pupus
namun sifat mereka diwarisi oleh anak cucu mereka sehingga ke hari
kiamat. Israel mewakili Yahudi dan Amerika mewakili Nasrani
sentiasa beruasaha memadamkan cahaya Allah SWT. Mereka lupa bahawa
kebangkitan Islam ini umpama air yang mengalir deras. Jika disekat di
tepi, ke tengahlah ia mengalir, jika dihalang di tengah, ia menerobos ke
atas dan ke bawah. Jika semua arah ia ditahan, ia akan menunggu untuk
menghancurkan banteng penghalang.
Hari ini, rampasan tentera di Mesir
hanya akan menyaksikan kebangkitan lebih besar rakyat Mesir
menghancurkan gerombolan secular yang berhajat untuk kembali ke tampuk
kuasa. Saya yakin, Amerika dan Israel akan berterusan memainkan
jarum mereka di Timur Tengah. Mereka melaungkan slogan demokrasi namun
apabila demokrasi menikam mereka, tanpa malu-malu mereka akan mencabul
demokrasi. Lihat sahaja, adakah mereka menghormati pilihan rakyat di
Algeria ketika FIS digulingkan?
Adakah mereka menghormati pilihan rakyat
ketika Najmuddin Erbakan dinafikan hak untuk berkuasa di Turki?
Demikian juga yang berlaku di Gaza dan Tebing Barat ketika Hamas
memenangi pilihanraya, adakah mereka berpegang kepada prinsip demokrasi? Itulah
Yahudi dan Amerika. Justeru, mereka yang tidak menghormati pilihan
rakyat secara demokrasi dan berusaha menggulingkan kerajaan sah dengan
membeli wakil rakyat dan sebagainya adalah saudara mara kepada Yahudi
dan Amerika.
Tidak ketinggalan juga yang melakukan penipuan
besar-besaran di dalam pilihanraya lalu mendakwa inilah demokrasi, pun
tergolong dalam golongan yang sama. Berdoalah. Semua pencinta Islam wajib berdoa agar dikembalikan semula pemerintahan Mesir kepada yang berhak.
Salam hormat.
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh: 27 Syaaban 1434H bersamaan 6 Julai 2013M
Lihat sebelum ini...
E-Buku IH-75: Dr Mohamed Mursi, Mujahid Akhir Zaman.
No comments:
Post a Comment