Tuesday, July 02, 2013

RM55J Geran Selangorku Dibelanja -Menteri Besar



SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor sehingga kini sudah membelanjakan lebih RM55 juta daripada RM300 juta yang diperuntukkan dalam Geran Selangorku.

Peruntukan bagi infrastruktur mencatatkan perbelanjaan tertinggi iaitu sejumlah lebih RM32.8.

Selain itu, sejumlah RM5.6 juta turut dibelanjakan di bawah geran infrastruktur sukan.

“Dengan adanya kemudahan infrastruktur lebih baik seperti kerja-kerja menaiktaraf jalan, longkang dan parit, pembinaan jambatan serta lampu jalan banyak membantu memberi kehidupan lebih selesa kepada rakyat.

“Selain menjadikan jalan raya lebih selamat kepada pengguna serta membantu mengatasi masalah banjir kilat yang kerap melanda disebabkan keadaan longkang dan parit yang tidak diselenggara,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menteri Besar berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Abdul Syukur Idrus (BN- Kuang)mengenai penggunaan Geran Selangorku dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurut Abdul Khalid lagi, hampir 66.5 peratus (147 projek) daripada keseluruhan 221 projek infrastruktur melibatkan kerja penurapan jalan, 19.9 peratus (44 projek) kerja menaiktaraf longkang dan 4 peratus (9 projek) untuk mengadakan lampu jalan.

Katanya, projek lain yang dilaksanakan dalam Geran Selangorku, Pengukuhan Demokrasi dengan kos RM4 juta daripada jumlah peruntukan RM5 juta, Pemerkasaan Wanita RM3.4 juta daripada RM30 juta, Sokongan Pendidikan RM3 juta daripada RM30 juta dan 13 program lain.(Hrkh)

1 comment: