KL: Umat Islam seharusnya merebut pahala berganda sepanjang Ramadhan dengan meningkatkan amalan bersedekah.
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, amalan bersedekah sangat dituntut dalam Islam bagi membantu golongan yang memerlukan.
"Kita harus bersyukur kepada Allah SWT yang memberi kita peluang untuk berada di bulan Ramadhan yang penuh berkat. Harapan kita Ramadhan kali ini Ramadhan yang terbaik.
"Saya menyeru muslimin dan muslimat supaya kita merebut peluang keemasan yang belum pasti kita akan jumpa untuk tahun-tahun seterusnya. Dengan umur yang Allah berikan kepada kita, kita gunakan sungguh-sungguh. Bulan Ramadhan bulan yang pahalanya berganda terutamanya bagi mereka yang bersedekah ke jalan Allah.
"Kita cuba bersedekah setakat mana kemampuan kita terutamanya kepada umat Islam yang dalam kesudahan sekarang seperti umat Islam di Mesir, Syria dan Palestin," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Bagi yang tidak mempunyai kemampuan untuk bersedekah dengan harta benda, sekecil-kecil amalan turut dikira sebagai sedekah seperti bermuka manis dan mengukirkan senyuman kepada orang lain. Selain itu katanya, amalan-amalan seperti mendoakan kebaikan seseorang, memperbanyak bacaan Al Quran dan berzikir dapat menggantikan amalan sedekah yang tidak mampu dilakukan. Apa yang penting katanya, setiap orang harus mempunyai niat untuk memperbaiki mutu amalan pada bulan Ramadhan supaya lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini.
"Bagi yang tak mampu bersedekah, kena banyakkan amalan. Seringan-ringan sedekah ialah senyuman. Dalam bulan Ramadhan kita pergi ke pejabat jangan tunjuk muka garang dengan kawan sebab lapar. Senyum itu sedekah. Kita senyum kepada sahabat itu sedekah.
"Sedekah juga membersihkan diri untuk melahirkan jiwa yang bersih supaya lahirnya takwa dan takut kepada Allah. Jadi bulan Ramadhan ini dipanggil juga bulan tarbiyah untuk mendidik jiwa insan supaya kembali kepada Allah dengan hati yang suci bersih sebab kita ini hamba Allah, menumpang di bumi Allah, kita dicipta untuk mengabdikan diri kepada Allah," katanya. (Hrkh)
Lihat sebelum ini...
E-Buku IH-58: 'Universiti Ramadzan' Al-Mubarak.
E-Buku IH-73: Kembali 'Univ Ramadzan' 2013.
No comments:
Post a Comment