▼
Monday, July 29, 2013
Suatu Pembohongan Besar Dalam Berita AFP Ini..
Penyokong Mohamed Morsi ikrar teruskan bantahan
KAHERAH - Penyokong Presiden Mesir yang digulingkan, Mohamed Morsi berikrar untuk meneruskan protes semalam, sehari selepas pertempuran yang meragut sekurang-kurangnya 72 nyawa di ibu kota Mesir di sini. Keganasan dilaporkan turut berlaku di beberapa lokasi di Mesir sejak kelmarin termasuk di Terusan Suez dan bandar Port Said.
Insiden berdarah di ibu kota Mesir itu menerima kecaman dari dalam dan luar negara termasuk daripada sekutu utama tentera Mesir, Amerika Syarikat (AS). Susulan insiden dekat Masjid Rabaa Al-Adawiya itu, pihak berkuasa Mesir memberi amaran akan menyuraikan penunjuk perasaan 'tidak lama lagi'.
Lokasi tersebut menjadi tempat penyokong setia Morsi berhimpun sejak seminggu lalu. Namun, amaran itu gagal menakutkan penyokong setia Morsi yang meneruskan bantahan mereka. Mereka mahu pihak tentera mengembalikan jawatan pemimpin tersebut.
Seorang jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad berkata, penunjuk perasaan marah tetapi tidak akan berganjak selepas insiden berdarah kelmarin.
"Jika kami mati, kami akan menemui Tuhan dan kami mati demi perjuangan yang benar.
"Sama ada kami mati atau berjaya," kata Gehad.
Keganasan awal kelmarin yang menyaksikan pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan merupakan insiden berdarah paling teruk sejak Morsi digulingkan oleh tentera pada 3 Julai lalu. Kementerian Kesihatan Mesir menyatakan, 72 orang terbunuh di kota raya ini kelmarin dengan sembilan lagi mati di Iskandariah sehari sebelum itu. Sebanyak 1,000 orang dilaporkan cedera dalam insiden tersebut.
Penyokong Morsi menuduh pasukan keselamatan menggunakan peluru hidup ke atas penunjuk perasaan tetapi dinafikan oleh Kementerian Dalam Negeri. Keganasan yang berterusan sejak kelmarin juga menyebabkan 15 orang cedera.
Agensi berita MENA melaporkan, mereka cedera dalam pertempuran semasa majlis pengebumian seorang penyokong Morsi di Port Said semalam. Dalam pada itu, keganasan kelmarin menerima kecaman antarabangsa termasuk oleh AS, Britain, Kesatuan Eropah dan Turki.
Mereka mahu tentera Mesir berhenti menggunakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan selain menghormati hak rakyat mengadakan bantahan aman. Insiden itu turut dikecam oleh Sheikh Universiti Al-Azhar, Ahmed Al-Tayeb yang mahu siasatan menyeluruh dilakukan untuk membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan. - AFP
No comments:
Post a Comment