SEORANG askar memeriksa sebuah kereta di sebuah pos
keselamatan di sebatang jalan menuju ke kedutaan Amerika Syarikat di
Sanaa, Yemen kelmarin.
WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) semalam menyatakan akan menutup
pejabat kedutaan dan konsulatnya di 19 buah bandar di negara-negara
Islam sekurang-kurangnya sehingga hujung minggu ini.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Jen Psaki memberitahu tindakan itu
diambil berikutan timbulnya ancaman serangan keganasan yang serius
daripada kumpulan Al-Qaeda.
Penutupan dilakukan sebagai bukti terhadap komitmen AS untuk melindungi kakitangannya dan pelawat di kemudahan terbabit. Pejabat diplomatik yang akan ditutup sehingga 10 Ogos ini adalah di
Mesir, Jordan, Libya, Yemen, Arab Saudi dan Kuwait. Tidak terkecuali
pejabat kedutaan AS di negara Afrika termasuklah Madagascar, Burundi,
Rwanda dan Mauritius.
AS bagaimanapun membuka semula pejabat kedutaannya di Kabul dan Baghdad semalam. Jumaat lalu, Pentadbiran Presiden AS, Barack Obama mengumumkan penutupan pejabat konsulat dan kedutaan sepanjang minggu ini. Jabatan Negara AS pula mengeluarkan amaran perjalanan kepada warga AS
di seluruh dunia sambil memberi amaran yang kumpulan Al- Qaeda atau
sekutunya mungkin akan menyerang kerajaan AS atau kepentingan Barat.
Perisikan AS turut menasihatkan Britain, Jerman dan Perancis supaya
menutup pejabat kedutaan masing-masing di Yemen pada Ahad dan Isnin
(semalam). Perancis semalam memberitahu bahawa ia akan menutup pejabat
kedutaannya di Yemen sehingga esok.
Ahli Kongres AS, C.A. Dutch Ruppersberger yang juga wakil Ahli
Jawatankuasa Perisikan memberitahu, ancaman serangan pengganas
besar-besaran itu diketahui selepas perbualan pemimpin kanan Al-Qaeda di
Semenanjung Arab diintip.
"Ini merupakan ancaman paling serius yang pernah saya lihat dalam
beberapa tahun kebelakangan ini," kata Senator Republikan, Sax- by
Chambliss. - Agensi
No comments:
Post a Comment