Tuesday, August 20, 2013

Ibubapa Kecewa, Zakat Ditukar Kepada ‘Pinjaman’




K/T'GANU: Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu buat hal lagi apabila didakwa bertindak menghentikan pemberian Dermasiswa Zakat para pelajar yang mendapat pembiayaannya.

Harakahdaily dimaklumkan, hampir 50 orang pelajar cemerlang ke Timur Tengah yang sebelum ini menerima tawaran itu dihentikan secara tiba-tiba serta ditukar kepada ‘pinjaman’. Tawaran pinjaman tersebut dibuat oleh pihak Yayasan Terengganu (YT) melalui Tawaran Pinjaman Pelajaran Sultan Ismail Nasiruddin Shah Terengganu.

Justeru itu, ibu bapa dan penjaga pelajar berkenaan melahirkan rasa kecewa, dukacita serta terkilan dengan keputusan Maidam tersebut. Seorang bapa pelajar yang enggan disebut namanya menyifatkan tindakan Maidam menghentikan Dermasiswa Zakat kepada para pelajar berkenaan tidak wajar sekaligus membebankan ibu bapa.

Ini kerana, katanya proses mendapatkan dermasiswa tersebut melalui temuduga serta kaji selidik berdasarkan polisi yang diterima pakai pihak Maidam sebelum ini.

“Saya rasa ini cukup membebankan ibu bapa dan pelajar yang sebelum ini menerima Dermasiswa Zakat dari Maidam. Sebab, kami bukan orang kaya atau terlalu senang untuk membiayai anak belajar.
“Kebanyakan pelajar pula sebelum ini pernah menerima tawaran dari pinjaman Mara dan JPA tetapi ditolak kerana ingin berkhidmat di Terengganu selepas tamat pengajian,” jelasnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, pembatalan dermasiswa Maidam tersebut berlaku pada 23 Julai lalu melalui surat pembatalan serta surat tawaran pinjaman YT. Difahamkan, ibu bapa para pelajar terbabit telah bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Datuk Mohd Rozali Salleh bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya, tindakan Maidam itu seolah-olah mahu melepaskan tanggungjawab kebajikan kepada rakyat Terengganu serta membantu pelajar di Timur Tengah. Sehubungan itu, PAS Terengganu turut kesal serta kecewa dengan langkah terbaru Maidam itu yang seolah-olah berlepas tangan untuk tidak memberikan bantuan zakat lagi kepada sesetengah pelajar di negeri ini.

Timbalan Pesuruhjayanya, Ustaz Satiful Bahri Mamat (gambar) berkata sedangkan sebelum ini polisi Maidam adalah membantu pengajian pelajar sebagai alternatif bagi pelajar yang tidak mendapat apa-apa sumber kewangan.

“Pelajar secara khususnya yang belajar pengajian Islam berhak menerima zakat sebagai seorang ‘penuntut ilmu agama fi sabilillah’, bermusafir keluar negara bahkan dikecualikan berperang ‘sabilillah’ ke atas mereka,” ujarnya.

Beliau memetik dalil dari al-Quran yang menegaskan perkara tersebut dengan maksudnya, “Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan (ilmu) mereka tentang agama dan dan memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya”. (Surah at-Taubah: 122)

Bahkan katanya, dalam soal pemberian zakat kepada golongan pelajar, ulamak terkemuka dunia, Dr Yusuf Al-Qaradhawi dengan jelas menyokong keperluan zakat kepada mereka.

Katanya, ulama tersohor itu menyebut bahawa, “pelajar yang menghambakan dirinya dengan belajar, dibenarkan baginya menerima zakat. Sekiranya dia tidak mempunyai masa untuk menghimpunkan di antara mencari harta dan menuntut ilmu, maka ia diberikan zakat mengikut kadar yang dapat membantunya menyempurnakan keperluan hajatnya. Termasuknya adalah kesibukannya menulis ilmu yang perlu untuk perkembangan dunia dan agama”.

“Ini (zakat) merupakan hak pelajar itu sendiri dan bukannya hak ibu bapa mereka. Apatah lagi pihak Maidam sudah membuat pilihan (memilih) pelajar tersebut dan amalan ini telah dilaksanakan sekian lama,” tegasnya.

Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka mendesak agar pihak Maidam bersikap bebas dan bertindak telus serta kembali kepada polisi lama yang lebih memberikan manfaat kepada rakyat keseluruhan.

Tambahnya lagi, dengan bantuan zakat juga dapat membantu segelintir para pelajar  merasai nikmat hasil zakat yang banyak daripada yang dibayar oleh) rakyat Terengganu. Tindakan yang diambil oleh Kerajaan BN negeri terutama selepas PRU13 lalu ternyata berbeza dengan apa yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan negeri pimpinan PAS.

Sewaktu PAS memerintah negeri pada 1999-2004 lalu, pihak kerajaan negeri mencari para pelajar pengajian Islam di Timur Tengah untuk diberikan bantuan zakat kepada mereka yang tidak mendapat tajaan atau pinjaman daripada mana-mana pihak tanpa mengira status ibu bapa. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails