INI hadiah untuk selepas hari raya Aidilfitri..
Dari Abu Ayyub radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:
مَن ٌصَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ اَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ. رَوَاهُ مُسْلِم
(HR Muslim)
- “Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari dari bulan Syawwal maka adalah dia seperti berpuasa sepanjang masa.”
Menurut Imam Ahmad, puasa 6 hari di bulan
Syawwal boleh dilakukan samada berturut-turut atau tidak
berturut-turut. Tiada kelebihan antara kedua-dua cara itu. Sama
sahaja.
Sedangkan menurut ulama-ulama madzhab
Hanafi dan madzhab asy-Syafi`i, mereka berpandangan lebih utama
melakukan puasa 6 hari di bulan Syawwal secara berturut-turut, iaitu
sesudah `Eidul-Fitri. Ada ulama berpandangan dikatakan berpuasa
6 hari dari bulan Syawwal selepas berpuasa di bulan Ramadhan seperti
berpuasa sepanjang masa kerana secara umumnya kebajikan yang dilakukan
oleh ummat Muhammad SAW akan digandakan sebanyak
10 kali ganda.
Jadi apabila seseorang berpuasa 1 bulan
pada bulan Ramadhan, bermakna kebajikannya digandakan sebanyak 10 kali
ganda, iaitu menjadi seperti berpuasa sebanyak 10 bulan.
Dan puasa 6 hari dari bulan Syawwal pula
digandakan juga kepada 10, lalu menjadikannya seperti seakan berpuasa
selama 60 hari, iaitu 2 bulan.
Ini bermakna, apabila seseorang berpuasa
sebulan di bulan Ramadhan, lalu disusuli dengan 6 hari di bulan Syawwal,
maka jumlah kebajikan puasa yang diperolehi ialah sebanyak 12 bulan, iaitu menyamai setahun.
10 bulan + 2 bulan = 12 bulan (iaitu setahun)
Jadi, apabila seseorang istiqamah melakukannya saban tahun, bermakna seperti dia berpuasa hampir sepanjang masa.
Allahu A`lam. Itu pandangan sebahagian ulama.
Tiada yang mampu berpuasa selama setahun
atau sepanjang masa. Tentunya ganjaran yang dijanjikan Nabi sallAllahu
`alaihi wasallam ibarat berpuasa setahun atau sepanjang masa tersebut
benar-benar mengujakan mukmin yang selalu berlumba-lumba melakukan
kebaikan. Ia memang ganjaran yang sangat besar.
Mengenai ganjaran pahala sebenar dari
amalan puasa itu hanya ALLAH lah yang mengetahuinya dan DIA lah akan
membalas mengikut kehendaknya Yang Maha Pemurah. Di dalam satu hadith
qudsi ada menyatakan tentang istimewanya ganjaran pahala dari sisi ALLAH
buat sesiapa yang berpuasa keranaNYA.
ALLAH Ta`ala menyebut:
ِكُلُّ عَمَلِ ابْنِ اَدَمَ لَهُ اِلاَّ الصِّيَامَ فَاِنَّهُ لِي وَ اَنَا اَجْزِي بِه
(HR al-Bukhari & Muslim)
- “Semua amalan anak Adam untuknya kecuali puasa, maka sesungguhnya puasa itu untukKU dan AKU yang akan membalasnya.”
Puasa Sunat 6 Hari Dari Bulan Syawwal
ALLAHU A`LAM. Semoga ALLAH Ta`ala menerima amalan kita semua, amin…
Rujukan:
- Riyadh as-Salihin, Imam an-Nawawi
- Feqh as-Sunnah, Sayyid Sabiq.
E-Buku IH-73: Kembali 'Univ Ramadzan' 2013.
No comments:
Post a Comment