KL: Kegembiraan jelas terpancar di wajah anak-anak yatim Rohingya ketika kedatangan mereka ke Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut semalam disambut oleh kakitangan pejabat agung. Seramai 30 kanak-kanak Rohingya dari Maahad Tahfiz MUR, Meru diraikan dalam Majlis Sumbangan Hari Raya Bersama Rohingya anjuran Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS (DPPM) dengan kerjasama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.
Kanak-kanak ini hadir diiringi Yang Di-Pertua Maahad, Ustaz Jabeer Islam. Ustaz Jabeer dalam ucapannya sempat menceritakan penderitaan minoriti Rohingya di Myanmar yang terus ditindas. Ceritanya, kanak-kanak perempuan dirogol, kanak-kanak lelaki dibunuh dan dibakar dan tempat ibadah umat Islam dimusnahkan gai menghalang mereka beribadat.
Beliau melahirkan rasa syukur masih mempunyai tempat berlindung di Malaysia dan ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan bagi menampung keperluan seharian. Sementara itu, Naib Ketua DPPM, Dr Raja Iskandar Al-Hiss berkata, DPPM sentiasa mengambil berat hal ehwal minoriti Islam yag tertindas di luar negara walaupun sibuk dengan hal ehwal di Malaysia.
Justeru, inisiatif DPPM sendiri berjaya mengumpul sejumlah RM5,000 untuk disumbangkan kepada Maahad Mur dan RM 100 kepada setiap kanak-kanak di Maahad tersebut. Beliau sendiri menyerahkan cek kepada Ustaz Jabeer dalam majlis ringkas sebelum berbuka puasa.
Turut bersama ialah Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Exco DPPM, Mohd Adram Musa. Sewaktu berbuka puasa, kanak-kanak tersebut berselera menikmati juadah yang didesiakan walaupun nampak malu-malu. Kanak-kanak perempuan dilayan mesra oleh Ameerah Dewan MUslimat PAS Pusat, Nisa' dan Briged Muslimat.
Manakala kanak-kanak lelaki duduk bersama-sama DPPM di ruang berasingan. Sebelum pulang, Ustaz Jabeer berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur yang memberikan layanan istimewa dan menghulurkan sumbangan. (Hrkh)
No comments:
Post a Comment