BUKAN sekadar menjalankan perniagaan makanan, pengusaha kedai makan di
kawasan perindustrian terutama di kawasan pedalaman dikesan turut
membekalkan perkhidmatan seks kepada pelanggan mereka yang rata-rata
terdiri daripada pekerja kilang.
Tujuannya mudah, untuk mengaut
keuntungan berlipat kali ganda, pelayan yang asalnya digaji untuk
menghidangkan makanan kepada pelanggan di kedai makan, turut digajikan
sebagai pelacur.
Kegiatan itu dikesan dalam serbuan dijalankan
polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman di
beberapa buah negeri termasuk Perak.
Ketua Penolong Pengarahnya
Datuk Abdul Jalil Hassan berkata terdapat sesetengah tempat
perindustrian seperti kilang-kilang yang mempunyai kedai makan terutama
di kawasan pedalaman, menawarkan khidmat seks untuk memastikan pekerja
kilang ini menjadi pelanggan tetap di kedai makan berkenaan.
“Wanita-wanita
ini selepas mengambil pesanan dan menghidangkan makanan, jika pelanggan
berminat boleh dibawa untuk berhibur termasuk mengadakan hubungan
seksual. Pelayan merangkap pekerja seks ini bekerja ikut syif, ada syif
malam dan siang ikut waktu habis kerja pekerja-pekerja kilang.
“Tujuannya
untuk tarik pelanggan sebab mereka tahu di kawasan-kawasan industri
seperti ini, pekerja adakalanya memerlukan hiburan, jadi dengan cara ini
pekerja tidak perlu ke bandar untuk makan atau mendapatkan khidmat
seks.
Katanya bayaran yang dikenakan sekitar RM100 hingga RM150
untuk setiap perkhidmatan dan pelanggan mereka terdiri daripada
pelanggan tetap antaranya warganegara Indonesia dan Bangladesh.
Berdasarkan
statistik dari Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 24,995 serbuan
Ops Noda dijalankan berbanding tahun lepas sebanyak 19,832 serbuan.
Daripada
jumlah itu, Kuala Lumpur merekodkan serbuan tertinggi iaitu 5,147
serbuan berbanding tahun lepas yang direkodkan negeri Johor Baharu
sebanyak 4,336 serbuan dalam tempoh sama.
Dalam tempoh yang sama
(Jan-Jun 2013), statistik turut merekodkan wanita warganegara China
paling ramai ditahan terlibat dalam kegiatan pelacuran iaitu seramai
2,032 diikuti wanita Vietnam (1,849), Thailand (1,390), Indonesia (580)
dan Filipina (245).
Abdul Jalil berkata berdasarkan operasi dan
pemantauan polis, wanita Vietnam dilihat menunjukkan peningkatan
terlibat dalam kegiatan pelacuran.
“Kami lihat trend peningkatan
ini sejak tahun lepas, perkhidmatan penerbangan pengangkutan yang
menawarkan pakej tambang murah dari beberapa buah bandar besar Vietnam
terus ke Terminal Pengangkutan Tambang Murah (LCCT) seperti bandar Ho
Chi Minh, menjadi faktor.
“Ini boleh disalah guna sindiket
pelacuran antarabangsa untuk membawa masuk pekerja seks ke negara ini
dan ia dikhuatiri tidak dapat disekat apatah lagi sekiranya mereka
menggunakan pas lawatan sosial mahupun pelajar, katanya.
Abdul Jalil
berkata sehubungan itu, polis terus menjalankan serbuan dan tangkapan
dalam mengekang unsur-unsur negatif seperti ini daripada terus menjadi
barah dalam masyarakat.
“Kami juga ada jalankan kerjasama dengan
Jabatan Imigresen Malaysia bagi memastikan mereka yang pernah ditahan
atas kesalahan menjalankan aktiviti kurang sihat seperti ini disekat
kemasukan semula mereka ke Malaysia.
“Selain itu, kerjasama turut
dijalankan dengan pihak kedutaan beberapa buah negara yang merekodkan
warganegaranya paling tinggi terlibat dalam kegiatan pelacuran dan
hasilnya kami pernah menyelamatkan wanita-wanita daripada dieksploitasi
sebagai pekerja seks,” katanya.
- Bernama
No comments:
Post a Comment