Saturday, August 17, 2013

Mengapa Pemimpin Arab Sokong Tentera Mesir? -AFP

Beirut: Sebahagian besar pemimpin Arab menyokong keganasan yang dilakukan pihak berkuasa keselamatan Mesir terhadap penyokong Ikhwanul Muslimin. Tindakan itu dipercayai kerana bimbang pengaruh kumpulan Islam itu yang kian berkembang sejak Revolusi Arab mengancam kuasa mereka, kata penganalisis.

Tentera Mesir menggulingkan Presiden Mohamed Mursi yang dipilih secara demokratik pada 3 Julai lalu dan menggantikannya dengan kerajaan sementara. Penyokong Mursi membina khemah penunjuk perasaan di Kaherah dan berjanji akan kekal di situ hingga bekas pemimpin terbabit yang kini ditahan, dikembalikan jawatannya.

Kerajaan mengarahkan mereka bersurai dan selepas beberapa lama tertangguh, anggota polis yang disokong tentera menyerbu khemah itu Rabu lalu. Jumlah kematian akibat pertempuran kedua-dua belah pihak di ibu negara dan seluruh Mesir menjangkau 600 orang.

Hanya Qatar, penaung Ikhwan dan Tunisia, dengan Parti Ennahda yang memerintah mempunyai kaitan dengan Ikhwan, mengecam keras keganasan yang berlaku.

“Semua pemimpin monarki di Teluk kecuali Qatar dan Jordan bimbang revolusi Ikhwan akan dieksport ke negara mereka,” kata profesor Universiti Paris-Sud, Khattar Abou Diab.
“Atas sebab itu, mereka berharap Mesir diperintah semula oleh parti sekular,” katanya.
Bagi Riyadh dan Abu Dhabi, rampasan kuasa dilakukan memberikan tamparan hebat kepada pesaing mereka di rantau itu iaitu Ikhwan.
“Kerana itu, tidak wajar bagi mereka memberitahu tentera Mesir, ‘kami tidak suka dengan apa yang kamu lakukan.’ “Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu kini menjadi penaung utama kerajaan tentera yang baru dan juga penyokong utama. Kerana itu mereka tidak akan menyelar keganasan itu,” katanya.

Selama 30 tahun, Arab Saudi dan Ikhwan menjalin hubungan baik, tetapi ia terjejas selepas Ikhwan mengkritik Riyadh kerana menerima kakitangan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di negara itu ketika Perang Teluk pada 1991. - AFP

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-78: I Support Dr Mohamed Mursi (2)

E-Buku IH-78: I Support Dr Mohamed Mursi (2) 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails