KUALA LUMPUR - Bebanan kos perkahwinan yang tinggi sehingga mencecah puluhan ribu ringgit ketika ini telah mendorong banyak pihak terutamanya golongan muda terpaksa menangguhkan hasrat untuk menempuh gerbang perkahwinan pada usia muda.
Kadar hantaran tinggi yang ditetapkan oleh pihak perempuan mengikut status keluarga, taraf pendidikan dan kecantikan menjadikan ramai anak muda yang baru menempuh alam pekerjaan terpaksa menabung untuk tempoh yang lama demi mengumpul wang.
Sidang Dewan Negara pada tahun lalu diberitahu, satu kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2010 mendapati faktor utama ramai lelaki tidak berkahwin ialah kerana
- masalah kewangan (44.7 peratus)
- diikuti tiada calon sesuai (19.3 peratus).
Sementara itu, Mufti Perak Tan Sri Harrussani Zakaria berkata, tidak salah untuk meletakkan nilai hantaran yang tinggi jika pasangan itu mampu, namun jika tujuan sebenarnya adalah untuk menunjuk-nunjuk, perbuatan itu adalah haram. Menurut beliau, perasaan riak adalah salah satu daripada dosa besar dan ia merupakan satu perbuatan yang dianggap syirik kecil dalam Islam.
"Perkahwinan adalah satu ibadah dan akan mendapat ganjaran pahala dalam Islam tetapi jika kita melaksanakannya dengan perkara-perkara yang dimurkai Allah, maka hukumnya adalah haram," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Harrussani, budaya meletakkan wang hantaran yang tinggi sebenarnya tidak digalakkan dalam Islam kerana ia mendorong kepada pembaziran. Katanya, selain daripada membazir yang merupakan amalan syaitan, ia juga akan membebankan sebelah pihak yang terpaksa menyediakan wang hantaran yang tinggi. (IH)
1 comment:
ramai lelaki gay sekarang ni
Post a Comment