Monday, August 26, 2013

Myanmar: Puluhan Rumah & Kedai Dibakar Penganut Buddha

 ENDUDUK Islam Myanmar berkumpul untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di Yangon pada 9 Ogos lalu. 

Keganasan agama kembali tercetus 

YANGON - Keganasan agama baharu meletus di barat laut Myanmar lewat kelmarin apabila sekumpulan penganut Buddha bertindak membakar berpuluh-puluh kediaman dan kedai susulan khabar angin bahawa seorang gadis telah dicabul oleh lelaki Islam. 


Setakat ini masih belum ada laporan berhubung angka kecederaan dalam serangan tersebut. Sami Buddha radikal Myanmar, Wirathu memberitahu di laman Facebooknya bahawa beratus-ratus orang terlibat dalam kekacauan itu di pinggir bandar Kantbalu. Wirathu yang kerap mengecam agama Islam dilihat sebagai antara penyumbang kepada peningkatan keganasan agama di Myanmar.

Kekacauan bermula apabila sekumpulan penduduk mengepung sebuah balai polis untuk menuntut agar suspek kes cabul itu diserahkan kepada mereka. Apabila polis enggan berbuat demikian, mereka mula membakar beberapa bangunan di sekitarnya. Seorang pegawai polis berkata, sekitar 35 buah rumah dan 12 kedai dengan kebanyakannya milik orang Islam musnah sebelum ketenteraman dapat dipulihkan.

Myanmar yang dihuni oleh 60 juta penduduk dengan majoritinya beragama Buddha dilanda keganasan agama sejak junta tentera menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam pada 2011. Lebih 250 orang terbunuh setakat ini dengan sebahagian besar adalah orang Islam manakala 140,000 lagi terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka.

Kekacauan agama itu bermula tahun lalu di negeri Rakhine, barat Myanmar. Penduduk beragama Buddha di negeri itu menuduh etnik Islam Rohingya memasuki Myanmar secara haram dan menceroboh tanah milik mereka. Keganasan agama itu kemudian merebak ke beberapa negeri lain di Myanmar pada awal tahun ini. - AP

Video: Rioters burn down Muslim homes in Myanmar

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails