HALAMAN HIBURAN
PETALING JAYA: Pelakon Didie Alias mengambil langkah untuk mengurangkan sedikit imej pelik yang sering ditampilkannya sebelum ini kerana menghormati empat anak perempuannya yang sudah bertudung.
Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd Ali, 40, berkata, sebagai ibu, dia perlu menjaga penampilan diri dan tidak terlalu berlebih-lebih kerana enggan anak-anaknya pula terkena tempias kritikan masyarakat.
"Sekarang ini anak-anak perempuan saya semua sudah berhijab. Dan saya sebagai ibu tidak mahulah melihat mereka dikritik hanya kerana penampilan saya.
"Bagaimanapun unsur-unsur pelik masih lagi ada, cuma ia tidaklah keterlaluan seperti sebelum ini. Dan fesyen yang dibawakan mengikut kesesuaian tema majlis," katanya kepada mStar Online.
Didie mempunyai lima orang anak termasuk seorang anak lelaki iaitu Nur Dania, 20, Muhammad Danial, 19, Nur Dinie, 17, Nur Danie, 15 dan Nur Diana, 14.
Tambah Didie, perubahan imejnya juga dibuat berdasarkan komen-komen umum di laman sosial dan akan menukarkannya jika ada gaya yang kurang disenangi masyarakat. Bagaimanapun, dalam usaha Didie memperbaiki gaya penampilannya, dia bersedia menerima kritikan.
Sementara itu, Didie baharu saja menyambut hari kelahirannya pada Sabtu lalu dan pada hari sama dia telah memenangi Artis Lawak Wanita Paling popular Anugerah Lawak Warna yang berlangsung di Istana Budaya.
Didie juga menyifatkan kemenangan itu sebagai hadiah hari jadinya yang paling bermakna dan berazam untuk menjadi pelakon dan pelawak yang lebih baik pada masa akan datang.
"Sudah lama saya dalam industri seni tempatan dan macam-macam penambahbaikan kualiti kerja saya buat peminat-peminat yang sering menyokong saya.
"Bukannya mudah nak jadi pelawak wanita kerana kami perlu menjaga batas-batas terutamanya daripada segi pertuturan kata. Sebab itulah negara kita kekurangan pelawak wanita sebab ianya bukan mudah," ujarnya. (mStar)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Semoga kita semua dianugerahkan Allah SWT dengan kesedaran yang bertambah-tambah lagi.. Insya Allah, Al-hamdulillah!
No comments:
Post a Comment