▼
Tuesday, August 27, 2013
Perkahwinan Kreatif: Dalam KTM & Sungai
Pasangan pengantin Mohd Izwan dan Maizatulakmam telah mencatat sejarah melansungkan majlis perkahwinan mereka di dalam tren KTMB menerusi pakej khas 'Bring Back Romance to the Train'.- Foto Bernama
JOM KREATIF
Kenangan perkahwinan pensyarah, isteri dalam KTM
KUALA LUMPUR - Bagi pensyarah dan bekas pelajarnya, majlis perkahwinan mereka di atas kereta api KTM Intercity serta resepsi di platfrom Stesen Kuala Lumpur, pastinya suatu kenangan yang tidak boleh dilupakan.
Mohd Izwan Mohd Zaki, 29, pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Terengganu dan isterinya, Mazitul Akmam Muhamad Takir, 23, menyifatkan perkahwinan mereka yang bermula di dalam KTM Intercity dari KL Sentral ke Stesen Kuala Lumpur, adalah satu pengalaman yang unik dan berharga.
Walaupun diadakan di dalam keretapi yang bergerak perlahan, program perkahwinan itu tetap mengekalkan adat dan upacara perkahwinan orang Melayu termasuk menukar hantaran serta bersanding. Pasangan pengantin dan anggota keluarga diarak dengan paluan kompang untuk memasuki keretapi khas dua gerabak yang telah diubah suai termasuk sebuah pelamin dan bilik pengantin.
Mazitul Akmam berkata mereka berdua sangat teruja dengan peluang keemasan untuk meraikan majlis perkahwinan di dalam tren yang dicadangkan perunding perkahwinan. Sementara itu, Pengurus Pemasaran Kanan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Noordin Kimi berkata majlis resepsi yang diadakan oleh KTMB itu merupakan antara usaha dalam mempromosi kepelbagaian perkhidmatan yang ditawarkan KTMB.
"Program perkahwinan yang mengekalkan ciri-ciri tradisional ini dapat menarik minat pelancong tempatan dan luar negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.
"KTMB mengalu-alukan pasangan yang ingin mengabadikan sejarah indah perkahwinan mereka dengan mengambil pakej 'Bring Back Romance To The Train' untuk merasai keunikannya yang tersendiri," katanya.
Pakej yang dilancarkan sejak awal tahun ini akan dijalankan secara berterusan dengan mengenakan bayaran kos minimum sebanyak RM15,000 termasuk pengurusan makanan, perhiasan pelamin dan sewa gerabak tren. - Bernama
PASANGAN pengantin diarak oleh anggota penyelamat menaiki rakit ketika menuju ke rumah pengantin perempuan.
Sungai saksi cinta
Bota: “Sungai ini menjadi saksi percintaan kami yang terjalin sejak di bangku sekolah. Hasrat kami untuk berarak di sungai pada hari istimewa ini akhirnya menjadi kenyataan,” kata Mohammad Kamil Zolkapely, 26, yang diarak menyusuri Sungai Perak bersama pasangannya, Norsila Radzuan, 23, di sini.
Menurut Kamil, tujuan utama perarakan itu untuk mengabadikan hari perkahwinan mereka di sungai itu berikutan kisah percintaan mereka bermula di situ.
“Dulu, jambatan bagi menghubungkan kami ke kampung Bota Kiri belum dibina dan bot adalah pengangkutan utama bagi kebanyakan penduduk untuk menyeberangi sungai.
“Namun apabila hari pernikahan makin hampir, tiba-tiba terdetik melakukan satu kelainan dan secara tidak langsung muncul idea untuk menaiki rakit ke rumah pengantin perempuan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurut Kamil, perarakan sejauh lima kilometer itu bermula di jambatan Cempaka Sari menuju ke rumah pasangannya di Sungai Sadang, di sini, sambil diiringi beberapa anggota penyelamat bertauliah.(myMetro)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Ini dua contoh perkahwinan kreatif yang menarik. Kadang-kadang lebih mudah mencapai maksud seperti penyebaran berita perkahwinan dan lain-lain. Yang penting tidak menyalahi hukum dan matlamat agama. Jom berkreatif!
Sila lihat sebelum ini..
E-Buku IH-68: Kisah-kisah Jom Kreatif (3)
No comments:
Post a Comment