KOTA BHARU: Dengan kemampuan yang begitu terhad, kerajaan Kelantan dapat menunaikan tanggungjawab untuk memberikan bonus Aidilfitri tahun ini kepada kakitangannya dengan kos keseluruhan RM2.2 juta.
Sumbangan Aidilfitri di bawah Skim Bantuan Khas itu bakal diagihkan sebelum Aidilfitri ini bagi memberi keselesaan pada kitangannya untuk menyambut hari raya.
Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, berkata sumbangan itu juga selaras dengan kerajaan Pusat yang telah mengumumkan untuk memberikan bonus Aidilfitri pada kakitangannya beberapa hari lalu.
Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco, di Kota Darulnaim, di sini semalam. Beliau menambah, sumbangan itu juga bakal dinikmati oleh kakitangannya yang telah pencen, sebanyak RM250 seorang.
Pada masa yang sama beliau berkata, kerajaan negeri turut meluluskan penubuhan majlis penempatan pelantikan dan pertukaran kakitangan awam kerajaan negeri Kelantan. Menurutnya, kerajaan negeri bersetuju meletakkan kakitangan awamnya bertugas berdekatan di kediaman masing-masing demi untuk mewujudkan suasana kekeluargaan.
“Kita tidak mahu isteri bekerja di Kuala Krai, suami di Kota Bharu, suami terpaksa keluar awal pagi sekiranya tinggal di Kuala Krai.
“Kerajaan negeri sedar ianya bukan suatu perkara yang mudah, tetapi akan cuba diusahakan untuk kebaikan keluarga contohnya pertukaran suka sama suka atau wujudkan tugas baru,” ujarnya. (Hrkh)
No comments:
Post a Comment