Thursday, September 05, 2013

Demo Bantah Campurtangan AS Di Syria Esok..


KUALA LUMPUR: PAS bersama beberapa NGO akan mengadakan perhimpunan aman di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) bagi membantah campur tangan negara itu ke atas konflik di Syria, selepas solat Jumaat, esok.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, berkata perhimpunan itu juga sebagai satu desakan kepada AS agar tidak meneruskan hasrat mereka untuk melakukan serangan ke atas Syria.

"Isu ini isu anti-perang. Kita tidak mahu AS campur tangan dalam urusan dalaman Syria. Semua ahli PAS dan rakyat Malaysia diseru untuk menyertai himpunan aman ini esok," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata,seperti biasa, para peserta diminta berkumpul di hadapan Bangunan Tabung Haji, sebelum berarak ke kedutaan untuk penyerahan memorandum oleh NGO.

Sementara itu, Lajnah Antarabangsa PAS Pusat turut mengutuk cubaan campur tangan ketenteraan Amerika terhadap Syria yang turut disokong beberapa negara besar lain.

Pengerusinya, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata sejarah telah membuktikan bagaimana campur tangan Amerika di negara lain tidak menyelesaikan masalah yang ada, sebaliknya mengeruhkan lagi keadaan.

"Sejarah membuktikan, bagaimana berlaku di Iraq dan Afghanistan bahawa campur tangan itu tidak menyelesaikan masalah, malah menjadikan krisis negara itu bertambah parah dan rakyat terus menderita," kata beliau. (IH/Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails