Saturday, September 28, 2013

Dr Mujahid Mahu Tamatkan Kepimpinan Ulama PAS?






PERSAINGAN DALAM PAS 

RESPONS

Tulisan Atiullah Othman didedikasikan untuk menjawab tulisan saya sebelumnya yang tersiar dalam blog saya, drmujahid.com dan dalam kolum Malaysian Insider bertajuk “Ulama atau tidak ulama lagi?

Saya ucapkan terima kasih kepada beliau kerana sudi menitipkan penanya untuk memberi komen terhadap penulisan saya. Apabila saya melihat tulisan Atiullah Othman dalam The Malaysian Insider, saya merasakan perlu dimuat turunkan dalam blog saya supaya pembaca dapat membuat penilaian terhadap komentarnya kepada tulisan asal saya.

IDE PENULISAN

Dalam penulisan beliau kita dapat membaca corak pemikiran yang menguasai penulis. Saya mengharapkan ada sesuatu yang menyentuh intipati rencana saya untuk dikomen tetapi malangnya apa yang saya dapati ialah tulisan yang hanya bertujuan untuk menyatakan bahawa saya anti-ulama bahkan mempunyai game-plan atau caturan untuk ‘menamatkan’ kepimpinan ulama.

Saya juga tidak mengerti apa tujuannya menegaskan frasa “yang diasaskan oleh ayahnya sendiri iaitu Ustaz Yusof Rawa”. Dari awal hingga akhir penulisannya, saya cuba mencari ide pemikirannya dalam menulis tetapi tidak saya temui melainkan ianya mirip gaya penulisan picisan oleh seorang ahli politik yang baru belajar bertatih.

Jikalaupun ada pun ide yang cuba hendak disampaikan, ia adalah tentang ide konspirasi untuk menjatuhkan kepimpinan ulama!

Lebih mengejutkan saya ialah apabila saya sampai dihujung penulisannya, terpapar pengenalan diri penulis iaitu “Penulis ialah pensyarah di sebuah universiti tempatan dan banyak menulis mengenai PAS termasuk mengenai Islam Liberal dalam PAS”.

Tanpa pengenalan ini saya akan mengandaikan Atiullah adalah seorang ahli politik kerana jikalau dia adalah seorang ahli akademik penulisannya adalah lebih konstruktif dan pemikirannya lebih tersusun.
Saya tidak tahu apakah Atiullah ahli akademik yang mahu jadi ahli politik ataukah dia ahli politik yang mahu dikenali sebagai ahli akademik, yang pasti penulis tidak amanah kepada komennya sendiri kerana dia bersikap selektif memilih ayat saya tanpa konteks menyeluruh  kepada pemikiran yang saya cuba bawa dalam rencana saya.

ISUNYA ADALAH MERIT

Merit adalah perkataan yang tepat untuk semua kelompok yang bersaing dalam menempatkan diri masing-masing di hearaki parti. Merit diperlukan pada waktu persaingan berlaku bukan sahaja dalam parti tetapi dalam kehidupan biasa pun merit menjadi kayu pengukur kepada kelayakan yang dicari.

Tidak ada apa yang taboo apabila kita menyatakan merit adalah keutamaan dalam menentukan kelayakan. Merit adalah sesuatu yang baik kerana ia menggambarkan kelayakan semua pihak yang bersaing, cumanya posisi yang dicari terhad dan kerana itu ia memerlukan satu lagi tahap kelayakan iaitu berpandukan merit.
Kelayakan mungkin terlalu umum untuk diungkapkan, tetapi merit adalah lebih khusus apabila persaingan itu sengit dan ramai yang layak sedangkan tempatnya terhad.

LAYAK DAN MERIT

Layak adalah keupayaan yang ada pada seseorang untuk menjalankan sesuatu tugas yang ditawarkan manakala kelayakan adalah proses mencari-cari seseorang yang mampu memenuhi ciri-ciri yang ditetapkan.
Kelayakan membawa konotasi kesesuaian seseorang berada di sesuatu tempat. Merit pula adalah sesuatu yang seseorang itu berhak mendapatnya kerana ciri-ciri yang jauh lebih layak daripada yang diharapkan, oleh itu merit membawa konotasi kelebihan dan pencapaian jauh dari sekadar layak.

Merit tidak melihat kepada ‘siapa’ tetapi kepada keupayaan, kemampuan, dan kebolehan kepada sesuatu tugas atau tempat yang ditawarkan.  Saya membawa konsep merit dalam Islam iaitu Al Qawi dan Al Amin. Sebenarnya ia adalah daripada ayat al Quran Surah Al Qasas ayat 26.

Bagaimana penulis boleh tersasar jauh dengan tuduhan liar terhadap saya kononnya untuk menamatkan kepimpinan ulama?

ULAMA DAN SIYASAH

Sebenarnya isu penglibatan ulama dalam siyasah atau politik bukanlah perkara baru. Ulama sebagai anggota masyarakat berhak memilih untuk menyertai politik samada secara politik kepartian ataupun politik secara umum.

Ini adalah kerana institusi ulama dalam Islam bukan seperti institusi kepaderian yang mengelak dari melibatkan diri dalam politik kepartian. Lagipun konsep kepaderian melihatkan diri mereka sebagai suci dari ‘kekotoran dunia’ di mana mengikut tanggapan mereka politik adalah sebahagian ‘kekotoran dunia’.
Islam tidak pula sedemikian di mana ulama adalah mereka yang berpengetahuan dalam bidang agama dan ia tidak melambangkan ‘kesucian’ melainkan ulama juga adalah manusia biasa tetapi dengan kelebihan ilmu yang mereka ada manakala dari sudut penilaian, Allah menilai mereka sama dengan mausia lain dari segi keimanan dan amalan serta keihklasannya.

Berdasarkan atas kefahaman ini, apabila ulama menyertai politik kepartian dia tetap terikat dengan kaedah merit Al Qawi dan Al Amin dalam melaksanakan tugasannya sebagai ahli atau kepimpinan parti, tiada paspot jaminan hanya bergelarkan ulama ia tentunya berkelayakan dalam politik kepartian.

Konsep merit Al Qawi dan Al Amin perlu diperjuangkan oleh ulama dalam PAS kerana mereka lebih arif kepada ruh dan makna ayat ini untuk melonjakkan PAS ke hadapan.

ISUNYA ADALAH PERSAINGAN

Dalam artikel saya, saya menolak tanggapan bahawa isu persaingan ialah antara ulama dan bukan ulama. Saya menyebut bahawa istilah ‘profesional’  adalah sebagai label ganti kepada non-ulama maka lahirlah istilah Ulama vs Profesional.

Saya jelas bahawa label untuk persaingan lebih pantas di sebut sebagai persaingan kumpulan yang mahu kekal status-quo dan kumpulan yang mahukan pembaharuan kerana di kalangan kelompok status-quo tidak semuanya ulama dan di kalangan mahukan pembaharuan ada juga di kalangan ulama.

Adapun istilah gabungan Ulama dan Profesional sebagai jalan tengah ia lebih kepada jalan keluar yang selamat untuk meredakan keadaan walaupun isu pokok masih tidak digarap iaitu merit Al Qawi dan Al Amin.

Saya menulis dalam rencana saya tentang dinamika persaingan ini dengan satu andaian yang positif kerana kedua kelompok yang bersaing mahukan kebaikan untuk parti. Fakta ini sengaja dikesampingkan oleh penulis dan beliau hanya tertumpu fokus untuk menggambarkan seolah-olah saya memandang serong terhadap ulama.

MENGURUSKAN KONFLIK

Konflik organisasi adalah satu kajian ilmiah yang asasnya ialah bagaimana konflik diuruskan. Keperluan mengurus konflik adalah supaya tercipta peluang di sebalik konflik untuk melakukan perubahan yang lebih baik untuk sesebuah organisasi.

Ilmu dan disiplinnya memerlukan pengetahuan tertentu. Saya tidak menyatakan ulama tidak berperanan sepertimana yang didakwa, saya hanya menyatakan ia memerlukan kemahiran yang boleh dipelajari oleh sesiapa pun, jadi ia bukan persoalan ulama atau tidak ulama.

Kita hanya perlu berendah diri untuk  membina budaya belajar dan terus belajar selagi ilmu itu membantu kita untuk memperkukohkan parti.

Saya tidak berminat untuk menjawab respons seterusnya daripada beliau walaupun setelah membaca artikel ini saya percaya Atiullah dan mereka seumpamanya akan respon. Saya tetap menyatakan piawaian Al Quran dalam merit Al Qawi dan Al Amin adalah jawapan kepada isu persaingan yang sihat di dalam PAS.
Mungkin juga dalam fikiran Atiullah dan seumpanya sedang mencari-cari apa pula game-plan Mujahid selepas ini….

(Visited 269 times, 10 visits today)
(Diangkat dari  http://drmujahid.com/)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid'
E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid'  
E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013
E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails