BAITULMAQDIS: Tentera rejim Israel bertempur dengan
penunjuk perasaan Palestin di Timur al-Quds (Jerusalem) pada malam
ulang tahun Intifada 2 yang ke-13. Pertempuran meletus pada hari Jumaat selepas tentera rejim Israel
menyerang sebuah kumpulan Palestin di Kota Lama, yang membantah
peningkatan kunjungan warga Yahudi di perkarangan Masjid al-Aqsa.
Sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin telah ditangkap ketika kejadian. Tunjuk perasaan yang sama menentang kemasukan sekumpulan warga Yahudi
di bawah pengawasan polis pengiring ke dalam perkarangan Masjid al-Aqsa
juga telah diadakan di beberapa bandar seperti Nablus, Tebing Barat dan
al-Khalil (Hebron).
Sementara itu, ribuan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza bangkit menuntut dihentikan kunjungan warga Yahudi ke Masjid al-Aqsa. Pemangku Ketua Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas membuat
rayuan terbuka agar menghentikan kunjungan ke al-Aqsa dalam ucapannya di
PBB, Khamis lalu.
"Tindakan perlu diambil untuk menamatkan serangan di tapak
keagamaan, al-Quds hampir setiap hari, di barisan hadapan adalah Masjid
al-Aqsa, di mana serangan berterusan seperti itu akan membawa kesan yang
buruk," kata Abbas.
Intifada Palestin 2 (Revolusi Palestin menentang rejim
Israel) berlaku pada 28 September 2000, selepas lawatan pemimpin parti
pembangkang Israel, Ariel Sharon, ke perkarangan Masjid al-Aqsa. Kira-kira 300 rakyat Palestin dibunuh oleh tentera rejim Israel dalam proses Intifada selama tempoh lima tahun.
Perkarangan Masjid al-Aqsa adalah tapak tumpuan masyarakat Islam dan Yahudi. Tapak suci berkenaan dikenali oleh masyarakat Yahudi sebagai Temple
Mount, dan menjadi tapak suci dalam agama Yahudi. Ia adalah tapak paling
suci bagi masyarakat Muslim selepas kota Makkah dan Madinah di Arab
Saudi. Warga Yahudi tidak dibenarkan untuk berdoa di perkarangan Masjid al-Aqsa. (Hrkh)
No comments:
Post a Comment