DAP kecam diskriminasi syarikat terhadap wanita bertudung
YB Yeo Bee Yin
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Damansara Utama
PETALING JAYA, 10 SEPTEMBER: DAP menggesa syarikat di Malaysia melayan calon pekerja secara adil dan saksama dalam proses pengambilan pekerja serta menilai mereka bukan daripada segi cara berpakaian tapi berdasarkan kecekapan, keupayaan dan produktiviti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Damansara Utama, Yeo Bee Yin
berkata, ekonomi negara akan mendapat manafaat jika semua syarikat bebas
daripada diskriminasi dengan pekerja yang diambil menjalankan
kelangsungan syarikat.
“Wanita Muslim sepatutnya bebas mengamalkan tuntutan agama dan tidak
wajar bagi majikan atau mana-mana pihak memaksa mereka memakai atau
tidak memakai tudung. Mereka seharusnya bebas daripada apa jua bentuk
diskriminasi dan prejudis, tidak wajar menempatkan mereka pada kedudukan
lebih lemah dalam proses pengambilan pekerja apatah lagi langsung tidak
diterima seperti yang dilaporkan.
“Perkara ini bukan isu agama tetapi soal keadilan dan hak sama rata.
Adalah amat perlu untuk melihat kembali keperluan memasukkan klausa
pakaian dalam bahagian berkaitan diskriminasi di dalam Perlembagaan
Persekutuan seperti yang terdapat dalam perlembagaan Amerika Syarikat
dan Mexico.
“Perkara 8, Perenggan 2 Perlembagaan Persekutuan menyatakan ‘tidak boleh
ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama,
ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang
atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah
sesuatu pihak berkuasa awam’,” katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga Strategis Sosial Media DAP berkata demikian merujuk
kepada status laman sosial Facebook wanita Muslim, Mira Kamil, baru-baru
ini yang mendedahkan pengalamannya di mana kebanyakan syarikat di
Malaysia tidak mengambil wanita bertudung bekerja.
Permohonan kerja beliau di beberapa syarikat bertaraf antarabangsa di
Kuala Lumpur City Centre (KLCC) ditolak dengan alasan syarikat terbabit
tidak mengambil wanita bertudung.
Kejadian ini juga disahkan Harian Metro apabila seorang daripada
wartawannya menyamar untuk mencari kerja di syarikat terbabit namun
ditolak atas sebab sama.
“Saya sekali lagi menekankan bahawa syarikat sepatutnya mengambil
pekerja berasaskan merit dan kecekapan bukan daripada segi cara
pemilihan mereka untuk berpakaian mengikut kepercayaan agama yang
diamalkan,” ujarnya. -Roketkini.com
Komen Weblog Ibnu Hasyim: “Perkara 8, Perenggan 2 Perlembagaan Persekutuan menyatakan ‘tidak boleh
ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama,
ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang
atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah
sesuatu pihak berkuasa awam’.”
Itu sebabnya jabatan agama tak bela agaknya, pasal bukan soal agama?
Video
Lihat sebelum ini..
Video
No comments:
Post a Comment