KUMPULAN penjawat awam menyertai tunjuk perasaan untuk
menuntut Kongres menamatkan penutupan kerajaan AS di luar bangunan U.S.
Capitol di Washington, Amerika Syarikat kelmarin.
Impak penutupan kerajaan AS
BALI - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry semalam
memberi amaran kepada Kongres supaya berfikir panjang mengenai impak
negatif yang akan timbul berikutan penutupan operasi pentadbiran negara
itu sejak lima hari lalu.
Pertikaian antara Parti Demokrat dan Republikan itu disifatkan beliau
sebagai 'cuai' dan boleh menjejaskan kreadibiliti AS di mata dunia jika
ia tidak diselesaikan segera. Malah, ia seakan-akan memberi mesej kepada dunia bahawa AS tidak mampu menyelesaikan masalahnya sendiri.
"Sekiranya krisis ini berterusan atau berulang, orang ramai akan mula
mempersoalkan kemampuan AS untuk mengendalikan kerajaannya sendiri,"
kata Kerry dalam satu mesyuarat sewaktu Sidang Kerjasama Ekonomi Asia
Pasifik (APEC) yang berlangsung di sini. Kerry bagaimanapun menegaskan bahawa imej AS masih belum tercalar di
mata pemimpin dunia dan yakin isu itu dapat diselesaikan tidak lama
lagi.
"AS tetap menjadi kuasa paling besar di dunia dari segi kapasiti ketenteraan dan ekonomi," tambah Kerry.
Sebelum ini, Presiden AS, Barack Obama terpaksa membatalkan
lawatannya ke beberapa buah negara ASEAN termasuk Malaysia, Brunei dan
Filipina. Obama juga terlepas peluang menghadiri mesyuarat APEC. Kerry yang menggantikan tempat Obama untuk lawatan ke negara ASEAN
menyatakan, beliau percaya tindakan Republikan menghalang perbelanjaan
kerajaan di Kongres sebagai satu langkah berbahaya.
Biarpun begitu, Kerry menegaskan, isu di Washington tidak akan
menjejaskan komitmen AS terhadap rakan-rakannya di Asia dari aspek
perdagangan dan pelaburan di rantau terbabit. Penutupan kerajaan AS berlaku apabila Republikan yang menguasai Dewan
Perwakilan enggan meluluskan wang untuk operasi pentadbiran kecuali
undang-undang penjagaan kesihatan yang dikenali sebagai Obamacare
ditangguhkan atau tidak dibiayai.
Obama dikatakan enggan untuk berunding dengan Republikan mengenai isu
bajet sehinggalah mereka meluluskan rang undang-undang sementara untuk
membuka kembali kerajaan AS. Selain bersetuju menaikkan had pinjaman
berkanun kepada AS$16.7 trilion (RM53.1 trilion)
"Undi dan hentikan sandiwara ini. Tamatkan penutupan kerajaan ini sekarang," tegas Obama.
Penutupan kerajaan memberi impak besar. Dari segi polisi dana luar,
ia menangguhkan bantuan keselamatan kepada Israel dan menjejaskan
pemantauan terhadap sekatan yang dikenakan ke atas beberapa buah negara
seperti Iran. Penutupan kerajaan AS turut memberi kesan kepada pelancong yang ingin
mengunjungi Institusi Smithsonian yang terdiri daripada 19 buah muzium,
galeri-galeri dan Zoo Nasional.
Sementara taman-taman awam termasuklah
Statue of Liberty, Yosemite dan Alcatraz juga terpaksa ditutup. Krisis itu menyebabkan ratusan ribu penjawat awam di beberapa jabatan
seperti pertahanan, perdagangan, tenaga dan pengangkutan diarahkan
untuk bercuti tanpa gaji. Justeru, penyelidikan saintifik juga terpaksa
ditangguhkan. Kali terakhir AS menutup operasi kerajaannya adalah pada 17 tahun lalu. - Agensi
No comments:
Post a Comment