PEMBENTANGAN bajet negeri Kelantan bagi tahun 2014 baru-baru ini menarik sekali.
Dato Husam Musa, Adun Salor yang
sebelum ini adalah Exco Kelantan bangun berucap memohon penjelasan
kerajaan negeri mengenai pemberian kawasan balak seluas 3500 ekar di
hutan simpan Chabang Tongkat Hulu Sat Machang.
Menariknya, apabila beliau menimbulkan cerita ini pelbagai persoalan muncul. Antaranya mengapa beliau bangun untuk
melawan kerajaan dari partinya sendiri? Mengapa tidak beliau atasi
kelemahan kerajaan negeri semasa beliau berkuasa dahulu? Mengapa hanya
sekarang beliau memberikan pelbagai cadangan untuk membangunkan negeri?
Adakah ini sabotaj beliau kepada kerajaan negeri selepas tidak lagi
dilantik menjadi Exco dalam pentadbiran kerajaan negeri yang baru?
Saya tidak hendak mempertahankan
sesiapa dalam hal ini. Saya tidak boleh kata apa yang Adun Salor
timbulkan itu benar atau salah. Tapi yang saya yakin ialah Adun Salor
membuat 'kerja rumahnya' sebelum berucap di Dun. Maka sekarang ini bagi
melihat kekuatan hujah masing-masing, saya menunggu jawapan MB dalam
penggulungan nanti.
Bukan saya sahaja yang menunggu,
rakyat juga ternanti-nanti jawapan MB. Ini kerana dalam beberapa hal,
bajet tadi tidak menjawab banyak persoalan yang dinantikan rakyat
tentang peruntukan pembinaan lebuh raya dan stadium serta peruntukan
untuk menjayakan projek kambing jamnapari dan padi organik -perkara
yang sebelum ini juga saya timbulkan.
Satu lagi yang rakyat hendak tahu
secara rasmi ialah tentang kenaikan tarif air yang dikatakan naik
sehingga 39% mengikut tahap tertentu penggunaan air, tetapi tidak
diumumkan. Yang rakyat hendak tahu ialah betulkah tarif air naik? Jika naik, kenapa tidak diumumkan? Dalam hal ini, seorang kawan saya
memberitahu saya, sekeras-keras kerajaan BN pun, kenaikan harga minyak
dan elektrik diumumkan kepada rakyat.
Kembali kepada tindakan Adun Salor
tadi, persoalan yang perlu kita jawab bukanlah soal beliau mengkritik
kepimpinan partinya, tetapi apakah tindakan beliau itu salah? Saya tidak melihat begitu. Saya tunggu
perbahasan seperti ini sekian lama, iaitu ahli dari parti sendiri
membahas dasar dan keputusan kerajaan.
Pada saya, tindakan Adun Salor adalah
baik untuk memperbaki kelemahan parti, lagi pun beliau adalah Adun
biasa yang bukan lagi berada dalam barisan kepimpinan kerajaan. Lainlah kalau beliau ahli Exco yang terikat dengan doktrin ‘tanggungjawab bersama’. Di pihak kerajaan negeri pula, terimalah pandangan Adun Salor sebagai politik profesional dan politik matang.
Jawablah dengan baik untuk menangkis
dakwaan beliau, bukan untuk melihat beliau sebagai musuh parti atau
musuh kerajaan negeri. Ingat, dari segi hierarki parti, Adun Salor
adalah naib presiden Pas. Maka, sebagai naib presiden, tidak ada tujuan bagi beliau untuk mensabotajkan parti dan kerajaan negeri dokongannya.
MB dah jawabpun..YB Hanifa pun dah jawab..ternyata perkara tu tak berlaku.namun bagus juga HM bangkitkan awal..tapi harap jd cerita anggur masam dah la
ReplyDelete