Wednesday, October 23, 2013

Brunei: Klasifikasi Jenayah & Hukuman Diperjelaskan


DEKAN Fakulti Syariah dan Undang-undang UNISSA, Profesor Madya Dr. Abdul Mohaimin bin Noordin Ayus ketika membentangkan kertas kerja bertajuk "Klasifikasi Jenayah dan Hukuman Dalaman Undang-Undang Jenayah Syariah. (Foto: Dk. Nur Hafilah Pg. Osman)

Klasifikasi Jenayah dan Hukuman Undang-Undang Jenayah Syariah diperjelaskan

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 22 Oktober. - Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Profesor Madya Dr. Abdul Mohaimin bin Noordin Ayus berkata bahawa 'al-jinayah' atau 'al-jarimah' adalah jenayah dalam perkataan Melayu merujuk kepada larangan-larangan hukum syara' yang diugut dengan balasan hukuman 'hadd' atau ta'zir dan al-qisas.

Tiap-tiap sistem perundangan itu  jelasnya, ada membuat pembahagian atau klasifikasi jenayah dan hukuman masing-masing yang bertujuan untuk menyusun atur setiap jenis jenayah yang dikuatkuasakan bagi memudahkan pentadbiran sistem keadilan jenayah itu mengendali dan menguruskannya.

Beliau  menjelaskan demikian ketika membentangan kertas kerja bertajuk 'Klasifikasi Jenayah dan Hukuman Dalaman Undang-Undang Jenayah Syariah' seterusnya menekankan ini dapat melicinkan pentadbiran dengan menentukan bidang kuasa mahkamah mana yang boleh membicarakan dan menghukum tertuduh, atau hukuman jenis apa yang dapat dijatuhkan terhadapnya, atau sistem undang-undang keterangan bagaimana yang diperlukan untuk pembuktian sesuatu kes jenayah itu.

“Klasifikasi secara tradisi dapat dilihat dari beberapa sudut pengklasifikasian, antara lain, berdasarkan 'maqasid al-shari'ah'; berdasarkan hak Allah Subhanahu Wata'ala dan hak hamba (manusia) yang dapat membezakan sama ada hukuman itu mandatori atau ada penyelesaian alternatif kepada hukuman yang ditetapkan syara'..” 

Ujarnya ketika menyampaikan kertas kerja di Simposium Majlis Ilmu Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-67 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarbangsa, Berakas di sini.

Profesor Madya Dr. Abdul Mohaimin seterusnya menegaskan bahawa jenayah juga diklasifikasikan kepada perbuatan jenayah itu sama ada dilakukan dengan niat atau perbuatan yang tidak disengajakan dan menambah klasifikasi pada lazim mengenai jenayah syariah disusun mengikut hukuman yang telah disyariatkan bagi setiap jenisnya: qisas, hudud, ta'zir, yang mempunyai hikmat yang tersendiri. (IH/Pelita Brunei)


Lihat Sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails