Saturday, October 05, 2013

Dr Mujahid Pemimpin Redakan Kristian Belum Dicalon Naib/T.Presiden PAS

Datuk Mujahid Yusof Rawa 
JIKA sekali pandang, seseorang mungkin tersilap membuat penilaian dan melihat pemimpin PAS ini sebagai seorang yang bengis, apatah lagi dengan gaya rambut pendeknya, bermisai serta janggut. Namun, pandangan tersebut berubah selepas The Malaysian Insider bertemu sendiri dengan Datuk Mujahid Yusof Rawa (gambar) di Parlimen baru-baru ini, terutama  apabila beliau berpakaian kemas segak dengan tali leher berjalur merah. Malah, beliau juga sebenarnya seorang yang tenang.

Ahli politik berusia 49 tahun itu mencuri tumpuan apabila beberapa kumpulan Muslim membantah usahanya menjalinkan hubungan dengan penganut Kristian menerusi penganjuran majlis dialog di gereja. Malah, laporan polis juga dibuat ke atas Mujahid, anak kepada bekas Presiden PAS, Yusof Rawa sebelum dialog bermula di gereja St Mark, Pulau Pinang bulan lalu.

"Jadi, bantahan tersebut menyebelahi saya," katanya sambil tertawa.
"Kami terima banyak publisiti dan orang ramai mula terbuka dengan idea itu,” katanya.

Mujahid juga mengakui dengan reputasi sebuah parti Islam serta dilihat ekstrem pada pandangan sesetengah orang, langkah itu berjaya mengubah orang ramai terhadap persepsi sedemikian.

"Ya, benar. Mereka terkejut seseorang pemimpin PAS melakukannya dan mengambil pendekatan ini. Mereka juga terkejut apabila saya berkata kepada mereka saya bukan berseorangan dalam perkara ini, malah parti saya juga menyokongnya," katanya.

Katanya, idea untuk "memperbaiki hubungan yang retak" hadir selepas beberapa gereja seluruh negara diserang dan menjadi mangsa vandalisme sekitar awal 2010. Menyedari penganut Kristian hidup dalam kebimbangan dan menjadi mangsa, beliau mendekati beberapa pemimpin parti dengan  cadangan tersebut.

"Masyarakat bukan Islam takut dengan Islam. Gambaran yang mereka lihat ialah Islam sebuah agama yang tidak bertoleransi, tidak menghormati hak orang lain dan sebagainya.
"Tetapi saya ingin memberitahu mereka ia sangat berbeza dengan ajaran Islam sebenar. Isu kalimah Allah juga mendorong saya untuk  mengambil pendekatan ini," katanya.

Pemimpin PAS, termasuk Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga memberi lampu hijau kepadanya untuk  mendekati pihak gereja.

Katanya, beliau sekurang-kurangnya telah bercakap dalam dialog di gereja seluruh negara hampir 30 minit.

"Bapa saya, arwah Yusof Rawa, adalah pendorong utama dalam hidup saya dan saya percaya beliau juga akan melakukan perkara sama.
"Beliau berperanan besar dalam hubungan antara agama dan amat disukai oleh rakan-rakan bukan Islamnya sejak saya masih kecil lagi di Pulau Pinang,” katanya.

Sebagai anak paling bongsu daripada 11 adik-beradik, Mujahid sangat rapat dengan ibunya dan antara salah seorang anak yang mengikut bapanya ke Iran, Turki dan Afghanistan semasa bapanya menjadi Duta Malaysia di sana.

"Saya mendapat pendidikan awal daripada sekolah antarabangsa semasa di negara ini. Kakak ketiga saya juga ikut sama untuk membantu ibu  dalam majlis-majlis rasmi,” katanya.

Beliau juga mengakui tidak pernah dihantar ke sekolah agama sebaliknya bergantung kepada ibu bapanya yang mengajarnya tentang  Islam.
"Malah semasa menjadi duta, bapa akan pulang ke rumah pada waktu petang, duduk bersama dan mengajar saya membaca al-Quran," katanya mengimbau saat ketika bersama bapanya.

Mujahid pulang ke Malaysia ketika berusia 14 tahun dan menyambung pengajian menengahnya di Penang Free School sehingga ke tingkatan enam.
"Saya mempunyai impian untuk menjadi peguam, tapi saya tidak mendapat keputusan baik dalam peperiksaan STPM,” katanya.

Kehidupannya berubah selepas rakan bapanya, yang sudah menjadi presiden PAS ketika itu melawatnya dari Kelantan.
"Ustaz Yahaya Osman bertanya kepada bapa siapa yang akan menggantikannya. Beliau bertanya kepada bapa sama ada saya  berminat untuk belajar bahasa Arab dengannya.
"Saya tidak tahu langsung tentang bahasa tersebut tapi saya berpendapat saya perlu mengikutnya dan bercuti di Kelantan dan pada  waktu sama mempelajari bahasa Arab. Bapa saya sangat gembira tapi beliau tidak tahu saya mempunyai niat lain," katanya sambil tersenyum.

Namun, semasa di Kelantan, Mujahid terkejut melihat dirinya semakin fasih belajar bahasa Arab sepanjang di bawah didikan Ustaz Yahaya. Kemudian beliau menyambung pelajaran di Universiti Amerika Kaherah di Mesir untuk mendalami bahasa Arab dan enam bulan kemudian, beliau menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar dalam pengajian Islam.

"Bapa saya mahu lihat saya pergi ke Al-Azhar dan beliau bangga selepas saya mula menulis surat kepadanya dalam bahasa Arab,” katanya.

Kisah Cinta Dr Mujahid

Pada tahun terakhir, seorang rakannya di Malaysia memperkenalkan Mujahid kepada isterinya, Zuraida Husin yang juga seorang  pelajar di Al-Azhar.
"Saya tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin pada masa itu kerana tidak mempunyai masa untuk bersuka-ria ketika itu," katanya berjenaka.

Rakannya itu bagaimanapun memaksa Mujahid, yang ketika itu berusia 26 tahun, bertemu dengan wanita berkenaan.
"Rakan saya itu mengatur pertemuan saya dengannya di sebuah kedai dan saya berpura-pura membeli air Coca-Cola sambil melihatnya. Saya tidak mahu dia tahu saya sedang memerhatikannya."

Selepas berpuas hati, Mujahid memberitahu rakannya dia terpikat dan menghantar kepada Zuraida sekeping gambar yang paling baik untuk dilihat bakal isterinya itu.
"Halangan selepas itu adalah meyakinkan bapa saya. Saya menjangkakan jawapan yang negatif kerana dia sentiasa berkata 'belajar dahulu'.

"Tetapi dia ingin tahu dan memberitahu akan memeriksa latar belakang keluarga bakal isteri di Terengganu terlebih dahulu. Bapa menghantar orangnya dan mereka memberikan laporan yang baik dan kemudian kami pun berkahwin," katanya malu-malu.

Pasangan itu kemudian kembali ke Mesir dan mempunyai cahaya mata pertama mereka di sana. Disusuli kemudian dengan dua lagi anak perempuan dan kini Zuraida adalah guru agama di sebuah sekolah di Nibong  Tebal, Pulau Pinang.

Anaknya yang berusia 23 tahun kini sedang belajar dalam jurusan sains politik di Universiti Islam Antarabangsa, manakala anak perempuan pertama beliau melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Antarabangsa dan anak bongsunya bakal mengambil peperiksaan SPM tahun ini.

Mujahid juga seorang guru agama sebaik kembali dari Mesir pada 1991. Sehingga 1999, Mujahid mengajar dan kemudian menjadi pensyarah sehingga beliau memutuskan untuk mengikut jejak langkah  bapanya.
Beliau kemudian menjadi Pengerusi PAS Bayan Baru di Pulau Pinang dan kini Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri dan Pengerusi Biro Perpaduan Kebangsaan parti itu.

"Saya berpendapat isu agama memberi banyak kesan kepada perpaduan nasional.
"Saya tidak fikir kerajaan berada di landasan yang betul dengan mengheret rakyat ke dalam jurang kebencian, sikap tidak bertoleransi dan berprasangka,” katanya.

Katanya, penganut Kristian menerima mesej yang disampaikannya dengan baik dan perkara itu juga mengubah  pandangan mereka terhadap PAS sebagai sebuah 'parti Islam pelampau'.
"Di tengah-tengah ketegangan, orang Kristian dapat merasakan bahawa terdapat beberapa harapan untuk mereka menerusi dialog yang diadakan," katanya. - 5 Oktober, 2013.(THI)

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Melahat latar belakang dan pemikiran beliau, sewajarnya beliau dipilih naik ke jawatan tinggi dalam PAS. Setakat ini, tidak terdengar lagi nama beliau dicadangkan bertanding sebagai calon Naib atau Timbalan Presiden PAS..

Lihat sebelum ini..   

E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid'
E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid' E-Buku IH-38: Pemilihan Kepimpinan PAS 2011 
 E-Buku IH-38: Pemilihan Kepimpinan PAS 2011 E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails