Friday, October 04, 2013

Forum Husam, Salahudin, Dr Dzul & Dr S/Azman: Bimbangkan DPP..

Datuk Husam Musa.
FORUM Survival PAS dalam arena politik Malaysia malam tadi bertukar menjadi medan untuk menilai prestasi Dewan Pemuda PAS dan hala tuju mereka dalam menyediakan barisan pemimpin pelapis untuk PAS.

Ia bermula apabila bekas ketuanya, Salahudin Ayub berkata, PAS mempunyai kilang untuk melahirkan kepimpinannya untuk masa depan iaitu Dewan Pemuda PAS. Ia berlaku sebagaimana beliau yang pernah menjadi Ketua Pemuda PAS Pusat dan kini menjadi Naib Presiden PAS yang paling kanan.

Selain beliau Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, seorang lagi naib presiden Datuk Mahfuz Omar, timbalan presiden Mohamad Sabu, semuanya bekas pemimpin kanan Pemuda PAS. Kenyataan Salahudin umpama “opening Pandora's box” (membuka laluan) majlis forum itu untuk memberikan fokus kepada Pemuda PAS. Semua pihak dan persoalan yang datang menuju ke arah Pemuda PAS.

Masing-masing ingin tahu, apakah barisan kepimpinan Dewan Pemuda PAS sekarang bakal menjadi kepimpinan PAS di masa depan? Ini kerana persepsi yang ada kepada Pemuda PAS sekarang adalah sekumpulan manusia yang berfikiran sama dan seragam sahaja.

Inilah persoalan yang datang bertalu-talu kepada penal forum malam tadi. Datuk Husam Musa, Salahudin, Dr Dzulkefly Ahmad dan Dr Syed Azman Ahmad Nawawi adalah panel forum yang penuh sesak dengan pelbagai orang itu.

Penontonnya adalah "Malaysian" kerana di sana ada Melayu, Cina dan India, sesuai dengan tempat berlangsungnya forum itu, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

"Kawan-kawan saya sentiasa bertanya, di manakah wakil anak muda PAS dalam perbincangan tentang ekonomi negara, manifesto dan seumpamanya.
"Kalau DAP ada Liew Chin Tong, PKR ada Rafizi Ramli, di mana pemuda PAS..barisan baru pimpinan PAS?" tanya Sheikh Omar, moderator forum yang memanaskan suasana apabila berbincang tentang masa depan PAS.

Untuk rekod, Ketua Pemuda PAS sekarang adalah Nasruddin Hassan anggota Parlimen Temerloh, timbalannya Nik Mohd Abduh Nik Aziz anggota Parlimen Pasir Mas manakala naibnya Raja Iskandar Al Hiss, aktivis pemuda dari Perak.

Soalan datang kepada panel forum ini dari mereka yang bukan ahli dan penyokong PAS tetapi sangat mengambil berat tentang masa depan Malaysia dan nasib mereka sendiri. Jika ini barisan pemimpin PAS di masa depan, bagaimana dengan nasib mereka yang tidak seirama dengan kepimpinan Pemuda PAS yang ada.

Husam dengan pantas menjawab, kepimpinan masa depan PAS tidak semestinya datang dari Pemuda PAS Pusat. Boleh jadi juga datang dari Pemuda PAS negeri-negeri.

"Saya sendiri sebelum ini tidak terlibat dengan Pemuda PAS Pusat. Saya hanya Ketua Pemuda PAS Kelantan. Jadi jangan bimbang sangat," kata Husam.

Salahuddin pula lebih membela barisan kempimpinan Pemuda PAS Pusat yang ada. Beri mereka peluang untuk membuktikan kemampuan, kata Salahudin yang sebenarnya tidak menghilangkan kegusaran mereka.
Bagi Dzulkefly ketika bercakap dengan The Malaysian Insider selepas forum itu, perkara ini perlu dibincangkan dengan serius oleh Pemuda PAS sendiri.

Ini kerana, pandangan dan keprihatinan ini amat mustahak untuk dikaji tentang rasional atau tidaknya dakwaan dan persepsi ini.

"Bagi saya, langkah yang boleh dibuat oleh Pemuda PAS adalah dengan memasukkan tokoh-tokoh yang membolehkan orang ramai melihat ada kepelbagaian dalam Pemuda.
"Jika ini boleh dilakukan, saya yakin persepsi ini akan berubah. Ini kerana kita mahu mentadbir Malaysia yang terdiri dari kepelbagaimana kaum, pendapat, pemikiran dan latar belakang sosio budaya," katanya.

Cadangan Dzulkefly ini jika sedia dipertimbangkan boleh dilaksanakan oleh Pemuda PAS seluruh negara dalam muktamarnya 21 November ini di Shah Alam, Selangor.‎ – 3 Oktober, 2013.(The Malaysian Insider)

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Forum Survival PAS dalam arena politik Malaysia malam tadi bertukar menjadi medan untuk menilai prestasi Dewan Pemuda PAS dan hala tuju mereka dalam menyediakan barisan pemimpin pelapis untuk PAS.

Ertinya seolah-olah rakyat Malaysia terdiri dari pelbagai kaum mula mempertikai kemampuan PAS mentadbir Malaysia masa depan, apabila persepsi yang ada kepada Pemuda PAS sekarang adalah sekumpulan manusia berfikiran sama dan seragam sahaja. Pemikiran yang mungkin dianggap tidak berkembang.

Maka hal ini perlu dipertimbangkan masak-masak oleh perwakialan dalam muktamar PAS 21 November ini di Shah Alam, supaya masalah ini tiak menjadi kabus yang menggerhanakan sokongan terhadap kebangkitan Pakatan Rakyat.menawan Malaysia. (IH)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-38: Pemilihan Kepimpinan PAS 2011
E-Buku IH-38: Pemilihan Kepimpinan PAS 2011 E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013

1 comment:

  1. Dewan Pemuda Pas sekarang ni dilihat kembali ke belakang, jumud, anti hiburan dan pro Unity Government dan mungkin juga UMNO. Imej dimanik DPP semasa Salahudin Ayub menjadi ketua tenggelam selepas Nasrudin Hassan Tantawi ambil alih. Ini diburukkan lagi dengan kenyataan ketua DPP menyokong penilaian semula ke atas tahalauf siyasi. Gambar timbalan ketua DPP berada dalam jet peribadi pun dah ada di internet seolah-olah menggambarkan anak Nik Aziz ni pro-UG/UMNO. Jadi DPP dan PAS kena jelaskan hal sebenar kalau tak masyarakat akan sangsi sama ada PAS ikhlas atau tidak bersama PR. Jangan jadi macam sebelum PRU 13 UG menghantui PAS. Elok bersihkan PAS dari golongan seperti Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa kalau tak buruk akibatnya dimasa hadapan.

    ReplyDelete