Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa melaksanakan janjinya untuk
menyuarakan bantahan kepada sesiapa saja jika alam sekitar dan pokok di
Kelantan ditebang sesuka hati.
Janji itu dilaksanakan apabila Husam meminta kerajaan negeri Kelantan
agar tidak meluluskan permohonan sebuah syarikat untuk menebang kawasan
seluas 1,400 hektar di hutan simpan Kekal Ulu Sat di Machang. Janji ini dibuat Husam ketika menjadi penal forum anak muda, Servival
PAS dalam Politik Malaysia di Dewan Himpunan China Selangor pada 2
Oktober lalu.
Dalam forum itu, Husam berkata, beliau akan menjalankan tugasnya selaku
Adun biasa di Kelantan dan perkara yang paling sensitif bagi beliau
adalah tentang alam sekitar termasuk pokok. Ketika membahaskan usul Belanjawan 2014 kerajaan Kelantan di Dewan
Undangan Negeri Kelantan semalam, Husam membuat kejutan dengan
membangkitkan isu pembalakan di hitan simpan berkenaan dan kenaikan
tarif air di negeri itu yang berkuat kuasa Ogos lalu.
Menurut Husam, ketika Kelantan diteraju Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
satu keputusan sudah dicapai agar semua permohonan baharu di kawasan
hutan simpan itu mesti ditolak.
"Seingat saya, kata Tok Guru (Nik Abdul Aziz), Hutan Ulu Sat dan Cabang
Tongkat adalah paru-paru untuk mengeluarkan udara segar dan bersih bagi
penduduk Kelantan. Biarlah ia kekal untuk anak cucu kita," katanya yang
juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan
Kebajikan Kelantan.
Langkah Husam mengkritik kerajaan PAS ini mengejutkan banyak pihak
kerana seolah-olah beliau mengambil alih peranan pembangkang iaitu Umno
di DUN berkenaan.
"Menariknya, apabila beliau menimbulkan cerita ini pelbagai persoalan
muncul. Antaranya mengapa beliau bangun untuk melawan kerajaan dari
partinya sendiri? Mengapa tidak beliau atasi kelemahan kerajaan negeri
semasa beliau berkuasa dahulu?
"Mengapa hanya sekarang beliau memberikan pelbagai cadangan untuk
membangunkan negeri? Adakah ini sabotaj beliau kepada kerajaan negeri
selepas tidak lagi dilantik menjadi Exco dalam pentadbiran kerajaan
negeri yang baru?" kata Profesor Dr Mohamad Agus Yusof, penganalisis
politik dari Universiti Kebangsaan Malaysian (UKM) menerusi Facebooknya.
Agus sebelum ini banyak mengkritik kerajaan negeri Kelantan sehingga
menimbulkan polemik antara beliau dengan Timbalan Menteri Besar
Kelantan, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah. Ia berakhir dengan cabaran agar Agus ke Kelantan sendiri berjumpa dengan Nik Amar dan disahut "Tunggu saya," kata Agus.
Namun sehingga kini tidak diketahui apakah perjumpaan itu berlaku antara mereka berdua.
Bagi Dr Agus dalam tulisan terbarunya ini, beliau tidak hendak
mempertahankan sesiapa dalam hal ini dan berkata:
"Saya tidak boleh kata
apa yang Adun Salor timbulkan itu benar atau salah. Tapi yang saya
yakin ialah Adun Salor membuat 'kerja rumahnya' sebelum berucap di DUN."
Beliau percaya, semua pihak menunggu jawapan dari Menteri Besar
Kelantan, Datuk Ahmad Yakub sendiri dalam isu ini yang dijangka akan
berbuat demikian petang ini.
"Bukan saya sahaja yang menunggu, rakyat juga ternanti-nanti jawapan MB.
"Apakah tindakan beliau itu salah? Saya tidak melihat begitu. Saya
tunggu perbahasan seperti ini sekian lama, iaitu ahli dari parti sendiri
membahas dasar dan keputusan kerajaan.
"Pada saya, tindakan Adun Ssalor adalah baik untuk memperbaki kelemahan
parti, lagi pun beliau adalah Adun biasa yang bukan lagi berada dalam
barisan kepimpinan kerajaan. Lainlah kalau beliau ahli Exco yang terikat
dengan doktrin ‘tanggungjawab bersama’," katanya.
Beliau berharap, di pihak kerajaan negeri pula, terima pandangan Adun Salor sebagai politik profesional dan politik matang.
“Jawablah dengan baik untuk menangkis dakwaan beliau, bukan untuk
melihat beliau sebagai musuh parti atau musuh kerajaan negeri.
"Ingat, dari segi hirarki parti, Adun Salor adalah naib presiden PAS.
Maka, sebagai naib presiden, tidak ada tujuan bagi beliau untuk
mensabotajkan parti dan kerajaan negeri dokongannya," kata Agus.
Melihat lebih jauh, Agus berkata: "Jikalah politik cara ini juga
diamalkan di Parlimen, alangkah majunya politik kita dan alangkah
baiknya untuk rakyat dan negara kita.” – 9 Oktober, 2013.(TMI)
No comments:
Post a Comment