PENGUAT kuasa memeriksa dokumen wanita warga Vietnam yang bekerja sebagai GRO di pusat karaoke.
Cheras: Seramai lapan wanita warga Vietnam yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam dua serbuan berasingan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Putrajaya di dua pusat karaoke di Cheras, di sini, malam kelmarin.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen 1 Pejabat Imigresen Putrajaya, Abd Malik Bujang berkata, seramai 34 pegawai dan anggota terbabit dalam Operasi 6P berkenaan.
“Serbuan pertama dilakukan di sebuah pusat karaoke di Jalan Metro Pudu pada jam 10.15 malam dan berjaya menahan enam wanita warga Vietnam yang sedang asyik melayan pelanggan.
“Manakala dalam serbuan kedua di Taman Connaught, seramai dua wanita yang menyedari kehadiran anggota penguat kuasa cuba melarikan diri melalui pintu belakang premis, namun mereka berjaya dicekup berikutan kawasan itu sudah dikepung,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati pintu belakang premis itu berkunci dari dalam menyebabkan anggota terpaksa memecahkan pintu itu untuk masuk.
“Semua wanita warga asing berusia 20 hingga 45 itu ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Manakala dua penjaga premis warga tempatan masing-masing berusia 25 dan 32 tahun ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002),” katanya. (myMetro)
No comments:
Post a Comment