Friday, October 18, 2013

Lepas Hari Raya, Audit Semula Amalan Korban.. Lihat P/Nik Aziz

PERUTUSAN AIDILADHA AL-MURSYIDUL AM PAS
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

SEGALA puji bagi Allah SWT yang telah memberikan kita kesempatan untuk kita terus bernafas di bumi ini dan dapat menyambut kehadiran satu lagi hari raya di dalam Islam iaitu Aidiladha untuk tahun 1434H.

Sesungguhnya kesempatan yang diberikan oleh Allah SWT ini me rupakan kesempatan yang wajib untuk kita syukuri dan diiringi dengan amal salih tanda ketundukan kita sebagai hamba kepadaNya.

Aidiladha sinonim dengan ibadah korban. Korban merupakan istilah bahasa Arab “Qurbaan” yang bermaksud dekat. Ia bermaksud mendekatkan diri kepada Allah SWT. Setiap ibadat korban hakikatnya bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Jika tidak berlaku demikian, ia bukan ibadat korban sekalipun dinamakan dengan korban.

Nabi Ibrahim a.s. memulakan sunnah korban ini apabila bermimpi menyembelih anaknya sendiri. Bagi orang awam, mimpi demikian barangkali akan diabaikan begitu sahaja dan akan mudah dianggap sebagai mainan tidur. Bahkan yang jelas merupakan perintah Allah SWT pun diperlekeh kan apatah lagi jika hanya mimpi yang belum tentu kesahihannya.

Tetapi tidak bagi Nabi Ibrahim a.s. yang merupakan seorang nabi. Baginda tahu mimpi tersebut merupakan perintah daripada Allah SWT lantas dilaksanakan secepat mungkin sekalipun ia amat berat bagi seorang bapa untuk menyembelih anaknya.

Ini pengorbanan yang besar yang dilakukan oleh baginda yang membuktikan dekatnya baginda dengan Allah SWT. Dengan rahmat Allah SWT, anaknya yang sepatutnya di sembelih ditukar ganti dengan se ekor binatang sebagaimana yang disebut kisahnya di dalam al-Quran.

Falsafah inilah yang wajib dihayati oleh umat Islam pada hari ini. Ibadah korban yang disyariatkan sewaktu seluruh jemaah haji berkumpul di Padang Arafah membuktikan kebersamaan kita dengan para hujjaj di Tanah Suci.

Di Padang Arafah, jemaah haji dari seluruh dunia yang jutaan bilangannya berwukuf sebagai menunaikan syarat sah ibadah haji. Wukuf tidak perlu sebarang bacaan dan perbuatan khusus. Ia hanya sekadar duduk. Tetapi duduk itu mempunyai nilai yang sangat besar.

Dari seluruh dunia dengan perbelanjaan yang begitu besar, jemaah haji bersesak di Padang Arafah hanya untuk duduk menunjukkan pengorbanan yang sangat tinggi bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Tiada ideologi atau agama selain Islam yang mengiktiraf duduk sebagai satu ibadah melainkan Islam yang mengira duduk di Arafah sebagai satu ibadah. Ini menandakan keluasan rahmat daripada Allah SWT.

Di luar tanah suci, umat Islam yang tidak berwukuf disyariatkan menyembelih korban. Bagaimanapun, perlulah diingat bahawa korban ini bukanlah hanya sekadar menumpahkan darah dan membahagikan daging, lebih tinggi dari itu ia merupakan lambang takwa kita kepada Allah SWT.

Tanpa disertai dengan niat yang ikhlas, ia tidak akan bernilai di sisi Allah SWT. Justeru, orang yang berkorban tidak boleh sama sekali di dalam masa yang sama menjadi pelaku maksiat. Orang yang berkorban tidak boleh melakukan rasuah, orang yang berkorban tidak boleh mengkhianati amanah, menindas, melakukan ke zaliman dan sebagainya.

Jika ada orang yang berkorban tetapi di dalam masa yang sama bersekongkol dengan kezaliman menentang perjuangan Islam, wajib ke atas dirinya melakukan audit semula ke atas ibadah korban yang dilakukan. Audit yang dilakukan oleh kita sendiri ke atas amalan diri sendiri amatlah berguna sebelum tiba masanya kita tidak boleh lagi melakukan sebarang amalan.

Ini kerana, malaikat juga turut melakukan audit ke atas amalan kita. Malaikat tidak berbohong dan tidak boleh dirasuah. Jangan menunggu laporan audit kita dibentangkan di akhirat barulah kita merayu-rayu untuk merangkak balik semula ke dunia, nauzubillah.

Justeru, marilah kita sama-sama menjadikan Aidiladha yang disambut pada tahun ini sebagai satu titik tolak untuk kita terus maju ke depan meningkatkan mutu pengorbanan kita agar kita termasuk di kalangan hambahamba Allah SWT yang dirahmati, insya-Allah.
Sekian, wassalam.

TUAN GURU DATO’ NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Al-Mursyidul Am PAS

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Walaupun lepas hari raya, sila ulangi baca ini untuk audit semula amalan korban kita. Orang yang berkorban tidak boleh sama sekali...
  • Dalam masa yang sama menjadi pelaku maksiat. 
  • Tidak boleh melakukan rasuah,  
  • Tidak boleh mengkhianati amanah, 
  • Menindas, 
  • Melakukan ke zaliman 
  • Bersekongkol dengan kezaliman menentang perjuangan Islam
  • dan sebagainya.
 Wallahu 'aklam.

1 comment:

XUMNO said...

Yang lagi teruknya ialah menghadiahkan beratus2 ekor lembu ke setiap masjid, tapi lembu2 tersebut dibeli dari hasil duit haram... samada melalui rasuah, menyamun duit rakyat, hasil perniagaan judi dan/atau arak, keuntungan riba dan menipu rakyat. Lembu2 itu nanti bukan menjadi tunggangan di akhirat tetapi lembu2 itulah yang akan memijak2 mereka yang kononnya amat pemurah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails