Friday, October 04, 2013

Selamat Berhaji, Nik Aziz Suruh Lontarkan Syaitan Di Mekah & M'sia.

KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan jemaah haji supaya melakukan ibadat berganda sebagaimana berada di Makkah walaupun selepas pulang nanti.
Katanya, dengan amalan sedemikian harta yang dibelanjakan untuk menunaikan ibadat haji akan lebih bermakna serta tidak sia-sia.

“Apa yang berlaku kebanyakannya di Makkah ketika menunaikan ibadat haji banyak amalan dilakukan sama ada wajib atau sunat,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya sebaik sahaja pulang ke tanah air beberapa hari kemudian, kegiatan lama seperti tinggal solat, tidak bayar hutang dan lain-lain diamalkan semula. Beliau berkata demikian ketika merakamkan ucapan selamat jalan kepada jemaah haji di pejabat Institut Pemikiran Tok Guru, di Kota Darulnaim. Menurutnya, sekiranya di Makkah jemaah haji melontar untuk menghalau syaitan, apabila pulang nanti mereka juga perlu berbuat demikian.

“Kerana hidup kita tidak akan dapat lari dari Allah dan akhirat nanti kita perlu mempersiapkan diri kita ke arah itu, kerana ke mana arah tuju kehidupan kita selepas itu kita tidak tahu sama ada, syurga atau neraka.
“Lagipun apabila seseorang itu pergi untuk menunaikan ibadat hajat, belum pasti mereka akan  pulang atau tidak ke tanah air sendiri,” ujarnya.

Bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini berulang, beliau turut mengingatkan umat Islam yang ingin mengerjakan haji supaya mempelajari agama lebih mendalam. “Pada masa yang sama amalkan sebelum kita bersiap sedia untuk mengerjakan ibadat haji agar kita tidak mengulangi kesilapan atau dosa yang kita sering lakukan setiap hari,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau juga mengucapkan selamat menunaikan ibadat haji kepada umat Islam di seluruh negara. “Semoga mendapat keberkatan serta haji yang sempurna,” ujarnya lagi.(IH/Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails