ALOR SETAR: Bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor (gambar) menang dalam tuntutan samannya terhadap penulis blog, Sobri Sudin.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Alor Setar, Alor Setar Abu Bakar Katar dalam keputusannya mengarahkan Sobri membayar gantirugi am sebanyak RM100,000 kepada Sanusi, di samping kos tuntutan plaintif sebanyak RM30,000.
Pada 27 Februari 2013, Sanusi melalui peguamnya Amirul Fairuzzeen Jamaluddin dari firma guaman Amin Amirul & Partners telah menfailkan tuntutan mahkamah terhadap Sobri Sudin kerana memfitnahnya.
Fitnah yang tersiar dalam blog Padi Jantan pada 22 Julai 2012 itu mendakwa kononnya Sanusi telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana terbabit dengan kes rasuah bernilai RM1.3 juta.
“Mahkamah ini sedar fitnah yang dibuat oleh plaintif telah dibuat oleh teknologi tercanggih iaitu internet.
“Dengan mengambilkira kedudukan plaintif iaitu bekas Setiausaha Politik Menteri Besar dan juga penglibatannya dalam parti politik PAS sebagai Timbalan Ketua Pemuda PAS dan Ketua Penerangan PAS Kedah.
“Mahkamah ini berpendapat gantirugi am sebanyak RM100,000.00 adalah munasabah dan memadai,” ujar Pesuruhjaya Kehakiman dalam keputusannya.
Bagaimanapun mahkamah tidak memberikan gantirugi teruk kepada plaintif kerana defendan tidak memfailkan apa-apa pembelaan justifikasi.
Dalam kenyataannya di galeri mahkamah selepas hakim membuat keputusan, Sanusi melahirkan kesyukuran kerana kebenaran berpihak kepadanya.
Beliau mengingatkan para penulis blog supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah kerana kesan untuk pihak lain dan akibat yang terpaksa ditanggung oleh pemfitnah juga sangatlah buruk.
“Di dunia lagi mereka sudah merasai akibat buruk dari memfitnah orang, bagaimana pula nasib mereka di akhirat?” ujar Sanusi.
Keputusan mahkamah juga, kata Sanusi, membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah Kedah dahulu adalah kerajaan yang bersih dan berintegriti sehingga tiada kes penyelewengan yang boleh disabitkan terhadap mana-mana pemimpin politik dalam kerajaan negeri. (Hrkh)
No comments:
Post a Comment