Oleh | Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin, |
Apabila hutang negara bertambah, beban rakyat meningkat, kehidupan menjadi sukar, jenayah dan ketakutan mula merayap ke segenap kehidupan rakyat dan sebagainya, maka bala dan derita itu dirasai oleh semua peringkat. Mereka yang faham dengan segala istilah dan angka, juga mereka yang kurang faham atau langsung tidak faham pun akan merasai derita dari segala bala tersebut.
Saya tidak mahu mengulas bajet secara detil. Biarlah hal itu dilakukan oleh pakar-pakarnya. Saya sekadar mahu berkongsi apa yang Nabi Shu‘aib nyatakan kepada kaumnya tentang punca kemusnahan ekonomi sesuatu umat. Nabi Shu’aib merupakan seorang nabi yang yang diutuskan kepada Kaum Madyan. Beliau terpaksa menghadapi kerenah penyelewangan pengurusan ekonomi dan harta yang mereka lakukan. Kaum Madyan dicatatkan sebagai kaum yang awal mengenakan cukai kepada orang yang lalu-lalang dalam kawasan mereka.
Al-Quran merakamkan ucapan-ucapan Shu’aib bagi mengingatkan sesiapa yang terlibat dengan harta orang lain tentang asas-asas penting dalam menguruskan harta. Bahasa Nabi Shu’aib a.s. bahasa asas yang dapat difahami oleh semua peringkat.
Penipuan Harga
Penipuan harga adalah antara ibu penipuan dalam urusan ekonomi. Meletak harga bohong pada sesuatu adalah kezaliman. Penipuan ini boleh berlaku samada dengan cara menipu ukuran ataupun timbangan. Dalam kerangka projek-projek kerajaan bererti meletakkan harga yang tidak sepadan dengan nilai yang sepatut. Sehingga projek-projek itu dibayar oleh kerajaan dengan harga yang tinggi melebihi ‘sukatan’ ataupun ‘timbangan’ yang sepadan. Wang awam menjadi mangsa dan negara menjadi korban. Ini semua kerana ada pihak yang mengambil kesempatan untuk memakan harta secara tidak sepatutnya. Inilah yang Nabi Shu‘aib tegaskan dalam seruannya. Firman Allah: (maksudnya)
- “dan kepada penduduk Madyan Kami utuskan saudara mereka Syu’aib, dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah Allah! Tiada tuhan bagi kamu selain dariNYA, dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya aku melihat kamu berada dalam kemewahan; dan sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang meliputi.” (Surah Hud ayat 84).
Mengurangi Hak
Ingatan Nabi Shu’aib yang lain ialah: (maksudnya)
- “Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya.” (Surah Hud: 85).
- “..hendaklah kamu memberi “mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu), iaitu suami yang senang (hendaklah memberi) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.” (Surah al-Baqarah, ayat 236).
Keberkatan
Intipati yang penting dalam penghayatan amalan ekonomi yang jujur ialah mencari keberkatan yang diperolehi melalui harta yang terhasil dari sumber yang halal. Shu’aib a.s: (maksudnya)
- “Baki (yang halal) Allah kepada kamu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman, dan aku bukanlah orang yang mengawasi kamu.” (Surah Hud, ayat 86).
- “kelangsungan kebaikan ilahi kepada sesuatu.” (Al-Asfahani, Mufradat Alfaz al-Quran m.s 119, Damsyik: Dar al-Qalam)
Good Governance
Good governance atau urus tadbir baik adalah istilah yang digunapakai pada hari ini bagi menggambarkan bagaimana institusi awam yang mengendalikan urusan dan harta awam ditadbir. Ia menggambarkan urustadbir yang bertanggungjawab lagi baik. Beberapa anasir diletakkan oleh pelbagai pihak seperti UN, IMF, World Bank dan lain-lain dalam menetapkan characteristics sesuatu urus tadbir yang baik. Sesiapa yang mengkaji tentang international development boleh memperincikannya.
Apapun, nasihat-nasihat Nabi Syu’aib adalah kunci kepada urustadbir harta yang baik. Para pemerintah hendaklah insafi diri masing-masing ketika menguruskan harta negara. Sekali lagi saya ulangi apa yang Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) dalam kitabnya As-Siyasah asy-Syar’iyyah fi Islah ar-Ra’i wa ar-Ra’iyyah sebut:
- “Tidak boleh para pemerintah membahagikan harta negara mengikut nafsu mereka seperti mana seorang pemilik harta membahagikan harta miliknya. Sebaliknya, para pemerintah hanyalah pemegang amanah, wakil dan utusan. Mereka bukan pemilik harta. Ini seperti yang Nabi SAW sabda: “Aku –demi Allah- tidak boleh memberi (harta awam) ataupun menghalang seseorang. Aku hanya pembahagi yang meletakkannya di mana sahaja aku diperintahkan”. Ini diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.”
- “Inilah rasul Tuhan semesta alam yang memberitahu bahawa dia tidak mempunyai hak menghalang dan memberi dengan kehendak dan pilihannya seperti mana seorang pemilik harta yang boleh berbelanja dengan hartanya, dan seperti raja-raja yang memberikan kepada sesiapa yang mereka suka. Sebaliknya dia (Rasulullah SAW) hanya seorang hamba Allah, membahagikannya mengikut arahan Allah. Dia meletakannya di mana yang Allah perintahkan”.
- “Demikian apabila seseorang berkata kepada (Khalifah) ‘Umar bin al-Khattab: “Wahai Amir al-Mukminin! Andainya engkau tambah peruntukanmu dari harta Allah ta’ala (harta negara). Jawab ‘Umar: “Tahukah engkau apakah bandingan antara aku dan rakyat? Ia umpamanya satu kaum yang berada dalam satu perjalanan, lalu mereka menghimpunkan harta mereka kemudian mereka menyerahkannya kepada seseorang untuk membelanjakannya untuk mereka. Apakah halal untuk lelaki itu mengutamakan dirinya dengan menggunakan harta mereka?.” [m/s 51-52. Kuwait: Dar al-Arqam (1406H)]
No comments:
Post a Comment