Tuesday, November 12, 2013

Dr Mariah Mahu Teruskan Agenda Wanita Malaysia


 

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Dr Siti Mariah Mahmood yang  mempertahankan jawatan pada pemilihan Muktamar Dewan Muslimat PAS kali ke-53 berjanji akan menyambung visi untuk menguatkan tahaluf siyasi dengan wanita Pakatan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Menurut beliau, dalam tempoh sepenggal kepimpinan DMPP yang dipilih pada muktamar 2011 lalu telah berjaya mengadakan pelan tindakan bersama visi agenda wanita Malaysia.

Bagaimanapun katanya, masih banyak perancangan atau pelan tindakan yang belum dapat dilaksanakan kerana keterbatasan waktu menghadapi Pilihan raya Umum ke-13.

"Banyak perkara sebenarnya yang kita jalankan baru separuh. Dalam masa dua tahun kita tidak sempat buat semua, sebab itu saya menawarkan diri setelah dicalonkan oleh kawasan untuk mempertahankan jawatan Timbalan DMPP," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja turut mengulas tentang penubuhan Ameerah yang baru dilancarkan pada tahun 2011 dan masih dalam proses menuju kemajuan.

"Ameerah merupakan anak-anak kecil yang perlu diasuh dan diupayakan. Penubuhan ini juga merupakan satu kesinambungan atau pelapis pimpinan Muslimat," katanya.

Beliau mengakui mempunyai keserasian bekerja dengan kepimpinan utama DMPP yang dapat melaksanakan peranan masing-masing dengan berkesan.

"Secara peribadi saya katakan, satu penggal tidak cukup untuk kami laksanakan perancangan. Sekurang-kurangnya dua penggal baru nampak berkesan," katanya.

Beliau mempersoalkan ada di kalangan Ketua Dewan Muslimat negeri-negeri yang berbelas tahun dan masih kekal jika dibandingkan dengan kepimpinan DMPP yang baru sepenggal.

"Saya rasa kita akan sampai satu tahap di mana jika kita sebagai pimpinan sudah lama sangat, sudah tentu berlaku ketandusan idea dan pada ketika itu kita boleh mengubah kepimpinan," katanya.(Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails