Tuesday, November 26, 2013

Hubungan Dagang Indo China Melalui Tok Bali

Tok Guru Nik Aziz Diupacara Pecah Tanah Projek Pelabuhan Tok ...

KOTA BHARU: Pelabuhan Tok Bali (Portokbali) hanya terletak kira-kira 356 km dari Vietnam dan hampir 500 km daripada Kampuchea.

Jarak rentas Laut China Selatan tersebut jauh lebih dekat berbanding laluan darat antara Kota Bharu-Kuala Lumpur.

Pengerusi Eksekutif Portokbali, Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad berkata, kedudukan Pelabuhan Tok Bali ternyata begitu strategik bagi hubungan perdagangan dengan negara Indo China.

Katanya, perdagangan wilayah China, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan dengan negara Asia Tenggara bernilai ratusan bilion.

“Rakan dagangan terbesar dengan China sahaja bernilai RM180 bilion. Oleh itu kemunculan Portokbali akan merancakkan lagi perhubungan antara negara Asean melalui jalan laut.

“Portokbali bakal muncul sebagai kawasan kondusif untuk industri, pelancongan, perdagangan dan pendidikan berasaskan maritim,” katanya ketika membentang kertas kerja pada seminar anjuran Jabatan Perancang Bandar dan Desa di sini kelmarin.

Portokbali dirancang berkonsep pembangunan bandar maritim bakal dilengkapi pelabuhan kargo, feri dan kapal persiaran.

Selain itu sebagai pangkalan dan perkhidmatan lapangan industri minyak dan gas luar persisir.

Zaheed berkata, biar pun pembinaan sedang berjalan namun pelabuhan tersebut sudah digunakan bagi mengeksport bijih besi dan magnesium ke China dan Vietnam.

“Bijih tersebut dihantar ke lapan pelabuhan di China dan sebuah pelabuhan di Vietnam,” tambahnya.

Fasa pertama pembinaannya bermula Mac 2012 siap bulan lepas. Manakala fasa kedua 2014-2015 dan fasa ketiga 2016-2020.

Pembangunannya meliputi kawasan seluas 38,000 ekar merangkumi pelabuhan kargo seluas 1,200 ekar.

Menurutnya juga kelebihan Kelantan terkenal dengan ciri-ciri pembangunan berteraskan Islam boleh menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi.

Katanya juga pembangunan Portokbali turut memberi memberi manfaat kepada pelabuhan di negeri-negeri lain dengan konsep saling membantu.

“Misalnya bijih besi dilombong di sini dihantar untuk diproses di Vietnam kerana kosnya lebih murah, kemudian produk yang siap dihantar pula ke negara lain.

“Atau bahan mentah lain yang terdapat di Kelantan boleh dihantar ke Sarawak untuk diproses memandangkan kos elektrik di negeri tersebut lebih rendah,” tambahnya. (HD)

No comments:

Post a Comment