Jalan Mathew di tengah bandar raya Liverpool menempatkan Muzium Hamba Abdi di Albert Docks, sebuah pelabuhan lama. Pelabuhan inilah suatu ketika dulu menjadi tempat persinggahan kapal yang membawa anak muda Afrika, kebanyakannya Islam yang diculik syarikat hamba abdi untuk dijual. MANSOR PUTEH menceritakan kisah di sebalik penubuhan muzium ini melalui catatannya
SESIAPA saja yang pernah melawat Liverpool di England pasti tidak mahu terlepas peluang mengunjungi Jalan Mathew.
Apa yang ada di situ? Di sinilah terletaknya kelab hiburan bawah tanah, `The Cavern’ dan di sini jugalah dikatakan fenomena muzik dunia bermula - dengan persembahan awal oleh kumpulan The Beatles.
Jadi tidak hairanlah pemilik The Cavern mengekalkan nama dan suasana asal kelab berkenaan sehingga kini. Tempatnya tiga tingkat di bawah tanah, asalnya adalah ruang menyimpan minuman keras atau ‘cellar’.
Ada sebuah lagi tempat di bandar raya ini yang turut menarik perhatian pelancong dan pelawat seluruh England dan dunia. Ia adalah Muzium Hamba Abdi terletak di Albert Docks, di sebuah pelabuhan zaman lama yang kini dijadikan pusat pelancongan.
Tentu suasana di sini sibuk suatu ketika dulu dengan begitu banyak kapal perdagangan berlabuh.
Di bandar raya ini juga terdapat ramai kelasi dan anak kapal Melayu yang mendarat dan menjadikannya tempat tinggal, ramai yang berkahwin dengan gadis tempatan dan memulakan kehidupan baru mereka. Malah, ada juga Kelab Melayu di Liverpool.
Saya sempat ke bandar raya ini Mac lalu dan berpeluang melawat dua tempat terbabit yang menyimpan banyak rahsia serta sejarah tempatan dan antarabangsa.
Di pelabuhan inilah banyak kapal membawa anak muda keturunan Afrika yang diculik oleh syarikat hamba abdi Inggeris dan Amerika Syarikat (AS) untuk dijual kepada tuan punya ladang kapas di selatan AS sebagai hamba mereka. Kebanyakan mereka beragama Islam dari negara di bahagian barat Afrika.
Dalam Muzium Hamba Abdi ini dipamerkan bermacam barang yang berkaitan dengan pengalaman mereka lengkap dengan gambar dan bahan-bahan dari kapal terbabit.
Di sebuah dinding digantung gambar orang keturunan Afrika yang kini terkenal di AS dan England yang mana dikatakan cucu dan cicit hamba abdi dulu. Ramai tokoh kulit hitam dalam semua bidang yang disenaraikan dalam muzium ini termasuk jugalah Presiden AS, Barack Hussein Obama.
Tetapi itu bukan fakta benar kerana Obama bukan keturunan hamba abdi. Bapanya berasal dari Kenya pergi ke AS dalam 1960-an untuk belajar di Universiti Havard di Massachusetts, bukan diculik dan dibawa ke Liverpool sebelum diangkut ke AS untuk bekerja sebagai hamba di ladang kapas.
Namun yang begitu ketara sekali ialah tiada pula gambar penyanyi Michael Jackson yang saya rasa sudah pasti mempunyai kaitan dengan keturunan hamba abdi.
Pengamatan saya mendapati ramai pelawat tempatan keturunan orang kulit putih sendiri yang gemar melawat muzium ini. Mungkin Mereka ingin tahu sejarah hamba abdi di England dan AS.
Pelbagai perkara, pengalaman serta fakta yang dapat kita peroleh dengan mengunjungi muzium ini. Orang di England tidak pula rasa tersinggung dengan tertubuhnya Muzium Hamba Abdi, mereka yang berketurunan Afrika di England dan di AS juga tidak pula mengecam pihak yang menubuhkannya.
Malah muzium ini menjadi daya penarik penting Liverpool, sebab tanpa kisah dan peristiwa mengenai hamba abdi, sejarah bandar raya ini tidak akan lengkap.
Oleh sebab itu rakyat mereka berketurunan kulit putih dan kulit hitam tidak tersinggung dengan penceritaan mengenai sejarah kedatangan nenek moyang mereka ke England dan AS. Ia adalah fakta dan fakta tidak kejam, hanya membuka minda dan pemikiran.
Fakta seperti ini yang mewarnai sejarah negara terbabit sehingga penduduk minoriti kulit hitam dapat hidup dengan aman dan sering berasa bangga dengan sejarah hamba abdi mereka sendiri tanpa segan silu.
Pelawak AS, Bob Hope pernah berjenaka di khalayak ramai dalam sebuah rancangan hiburan yang disiar ke seluruh negara bahawa penghibur keturunan Afrika yang terkenal ketika itu, Sammy Davis ‘mempunyai lebih banyak rantai padanya berbanding dengan keturunannya’.
Davis dan penonton kulit hitam dan kulit putih lain tergelak, mereka langsung tidak tersinggung. Yang boleh tersinggung dengan lawak dan komen seperti itu adalah mereka yang menolak sejarah dan tidak mempunyai pemikiran terbuka serta takut bayang-bayang sendiri. Mereka yang mempunyai sikap perkauman tidak boleh menerima hakikat.
Tentu tidak ramai rakyat Malaysia pernah melawat Muzium Hamba Abdi di Liverpool untuk mengetahui dan memahami akan kesannya terhadap pembentukan pemikiran terbuka rakyat di England.
Apa pula pengajaran yang boleh kita di Malaysia pelajari dari muzium ini? Sanggupkah kerajaan menubuhkan sebuah muzium khas mengenai penghijrahan kaum Cina dan India ke negara ini supaya umum tahu bagaimana sejarah asal usul mereka yang terpaksa meninggalkan kampung halaman.
Jika tidak, saya akan menerbitkan hasil karya penulisan dalam bahasa Inggeris berjodol `The Sinkek' atau 'Pendatang Baru' mengenai kisah seorang pemuda Cina dari selatan negara itu yang berhijrah ke Melaka dan diselamatkan orang kampung di Jasin pada 1873. Karya ini ilham sejarah keturunan saya yang juga berasal dari China.
Berita Harian 2010/10/10: Hiba Muzium Hamba
Sebelum ini ..
No comments:
Post a Comment