Oleh YB Khalid Samad
Muktamar PAS ke-59 kali ini merupakan muktamar yang akan diadakan
pemilihan. Ia amalan biasa, pemilihan diadakan setiap dua tahun. Namun
kali ini, banyak sangat yang berlaku lain daripada yang lain.
Mungkin ini kerana PAS sudah menjadi parti yang mempunyai kedudukan di
beberapa negeri dan membentuk kerajaan melalui PR. Mungkin inilah yang
dikatakan ujian ‘kemenangan’.
Paling berbeza adalah corak kempen yang sedang berlaku. Facebook dan
media baru dipenuhi corak kempen fitnah menfitnah dan adu-domba. Suasana
persahabatan dan ukhuwwah dirosakkan. Anehnya, ia dirosakkan oleh
golongan yang mendakwa ingin ‘menyelamatkan’ PAS.
BUDAYA FITNAH PEROSAK: HADAPINYA DENGAN “KEKAL”
Bagi saya, kalau ingin ‘menyelamatkan PAS’ sekalipun, ia perlu
dilakukan tanpa budaya fitnah dan adu-domba, tanpa merosakkan
persahabatan yang telah terjalin sekian lama. Sepatutnya dibina daripada
apa sedia ada, bukan berusaha meruntuhkannya.
Oleh itu, secara peribadi saya beranggapan mereka bukan menyelamatkan PAS tetapi merosakkannya dari dalam.
Sebagai protes terhadap budaya perosak yang dibawa mereka, saya
nyatakan secara terbuka, saya akan undi untuk kekalkan yang sedia ada.
Saya menyeru kepada sesiapa yang bersetuju bahawa budaya yang dibawa
golongan muda ini ditolak, seperti mana juga usaha ‘perubahan dan
menyelamat’ yang kononnya mereka inginkan; melakukan seperti saya. Tolak
melalui ‘KEKAL’, cogan kata yang membawa kemenangan di Sungai Limau.
kekal budaya politik bersih dan sihat dan kekal saff pimpinan sedia ada.
BAHAYA POLITIK FITNAH
Dalam dunia politik, mungkin akan dikatakan soal fitnah perkara biasa!
Ya, bagi politik yang tidak takut kepada kemurkaan Allah, bukan politik
Islam lebih-lebih lagi dalam jemaah Islam. Ia mungkin biasa bagi Umno
tetapi jangan sekali-kali dibawa dalam PAS!
Sepatutnya umat Islam dan khususnya mereka yang ingin memperjuangkan
penghayatan Islam di dalam sistem hidupnya, akan berasa serik dengan
budaya fitnah. Tidak cukupkah pengajaran dalam sejarah Islam bagaimana
politik fitnah dan adu-domba telah menghasilkan luka yang kesannya
dirasai beratusan tahun?
Lihat kisah Saidina Othman (RA). Walaupun beliau seorang daripada
sepuluh yang dijanji syurga, beliau tetap tidak terlepas daripada budaya
fitnah yang tersebar luas sehingga golongan muda dan bersemangat
akhirnya bertindak melampaui batas.
Jika dikenang kembali bagaimana fitnah yang tersebar menghasilkan
keadaan sehingga Muhammad bin Abu Bakar, anak Saidina Abu Bakar (RA)
sendiri, menceroboh masuk ke rumah Othman dan sambil menarik janggut
Othman, menghunus pedang untuk membunuhnya. Saidina Othman telah
berkata, “kalau ayah kamu berada di sini pada hari ini, pasti dia tidak
melayani saya sebegini...” Mendengar kata-kata Saidina Othman, maka
Muhammad bin Abu Bakar tersentak lalu melepaskannya dan terus
meninggalkan rumah Saidina Othman.
Kalau sahabat seperti Saidina Othman sendiri boleh difitnah, apakan
lagi orang seperti kami. Hasil fitnah terhadap Othman maka berlakulah
pembunuhannya yang menghasilkan pula perang antara Saidina Ali dengan
Saidatina Aisyah pada mulanya dan diikuti pula perang dengan Muawiyyah.
Ini kemudiannya menghasilkan golongan Syiah Ali dan Khawarij yang
akhirnya menyebabkan perpecahan yang sentiasa dimanfaatkan oleh musuh
Islam hingga hari ini. Kesan fitnah ini dirasai hingga ke hari ini.
FITNAH SYIAH TERHADAP MAT SABU
Ada yang mendakwa ingin selamatkan PAS daripada pengaruh Syiah yang
kononnya dibawa Mat Sabu! Saya nyatakan di sini, beliau bukan penganut
fahaman Syiah. Perginya beliau ke Syria untuk menyeru Bashar supaya
membuat pilihan raya dan jangan membunuh rakyat Syria.
Mat Sabu cuba memanafaatkan kenalan dan hubungan yang sedia terjalin
sekian lama kerana Damsyik merupakan tempat terdapatnya pejabat Hamas
dan juga Jihad Islami. Syria juga merupakan laluan untuk bantuan kepada
Hisbullah yang diguna oleh Iran. Maka Mat Sabu pernah berurusan dengan
kerajaan Syria dan mengenali mereka. Usaha mulia beliau diguna untuk
menuduhnya sebagai seorang penganut fahaman Syiah.
Dakwaan dibuat oleh mereka kerana ingin menjatuhkan beliau sehingga
sanggup menjadi pemanjang fitnah lidah Umno dalam PAS! Dakwaan Mat
adalah Syiah dimulakan oleh pihak musuh dan malangnya dimanfaatkan oleh
‘orang PAS’ untuk menjatuhkannya. Jika benar dakwaan mereka ini, maka
bawakan bukti dan laporkan kepada JK disiplin parti!
Tetapi jika tidak, maka ketahuilah ia tidak lain melainkan fitnah.
TIMBALAN PRESIDEN MESTI ULAMA?
Isu Timbalan Presiden mesti ulama adalah satu pandangan. Ia bukan satu
ketetapan. Saya hormati pandangan itu tetapi ‘patek mohon derhaka’ di
dalam Pemilihan Timbalan Presiden PAS.
Tuan Guru Nik Aziz juga sudah menyatakan sebaliknya. Kertas Mesyuarat
Peranan Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat yang saya kongsi
bersama tempoh hari juga telah nyatakan secara jelas bahawa Jawatan
Pusat termasuk Presiden dan Timbalan Presiden adalah‘tanfizi’ iaitu
pelaksana. Maka saya rasa ia sudah cukup jelas, ia bukan satu kemestian.
Apa yang penting bagi saya ialah Timbalan Presiden perlu membantu
Presiden dalam urusan yang Presiden mungkin tidak sehebat. Barulah
Timbalan Presiden membawa ‘added value’atau nilai tambah. Apa guna
adanya Timbalan Presiden yang hanya mampu membuat apa yang mampu dibuat
Presiden dan itu pun tidak sehandal Presiden?
Sebagai perumpamaan, apabila kita makan menggunakan sudu, pasti ia
diregukan dengan garfu. Atau jika makan ‘steak’, pisau digandingkan
dengan garfu. Jarang sekali sudu digandingkan dengan sudu kecil atau
garfu dengan garfu kecil.
Maka bagi saya, Mat Sabu mempunyai kekuatan tersendiri dan akan membawa
sokongan tambahan kepada PAS. Beliau mampu memperkukuhkan lagi hubungan
PAS dengan PR dan sokongan daripada bukan Islam. Sambil itu Presiden
Haji Hadi mampu menambahkan lagi sokongan daripada masyarakat Melayu dan
golongan agamawan.
ISU SEBENAR YANG PERLU DIFIKIRKAN PERWAKILAN
Suasana fitnah ini semua mempunyai matlamat tertentu. Di sebalik
laungan ‘selamatkan PAS’ dan ‘pertahan kepimpinan ulama’, kononnya;
agenda yang tersirat ialah untuk membawa PAS keluar daripada PR. Ini
bacaan saya. Banyak kali telah saya sebut.
Maka perwakilan perlu pilih di antara calon yang akan kekal dan
kukuhkan PR dan calon yang ingin mengkaji semula hubungan PAS dan PR.
Kalau susah untuk dikenali, maka sekali lagi saya syorkan, KEKALkan sahaja yang sedia ada.
Jika berhasrat untuk tukar dua tiga AJK PAS Pusat, dengan muka baru
yang lebih muda, tiada masalah. Khususnya menggantikan orang seperti
saya yang tidak menyerlah sangat prestasinya. Tetapi apa yang ada secara
umum sudah cukup baik sepertimana juga strategi yang diguna-pakai
melalui PR. – 15 November, 2013. (TMI)
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-80: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013 (2)
No comments:
Post a Comment