Saturday, November 16, 2013

Muktamar, Kali Ini Lain Dari Yang Lain -Khalid Samad

Oleh  YB Khalid Samad

Muktamar PAS ke-59 kali ini merupakan muktamar yang akan diadakan pemilihan. Ia amalan biasa, pemilihan diadakan setiap dua tahun. Namun kali ini, banyak sangat yang berlaku lain daripada yang lain.
Mungkin ini kerana PAS sudah menjadi parti yang mempunyai kedudukan di beberapa negeri dan membentuk kerajaan melalui PR. Mungkin inilah yang dikatakan ujian ‘kemenangan’.

Paling berbeza adalah corak kempen yang sedang berlaku. Facebook dan media baru dipenuhi corak kempen fitnah menfitnah dan adu-domba. Suasana persahabatan dan ukhuwwah dirosakkan. Anehnya, ia dirosakkan oleh golongan yang mendakwa ingin ‘menyelamatkan’ PAS.

BUDAYA FITNAH PEROSAK: HADAPINYA DENGAN “KEKAL”

Bagi saya, kalau ingin ‘menyelamatkan PAS’ sekalipun, ia perlu dilakukan tanpa budaya fitnah dan adu-domba, tanpa merosakkan persahabatan yang telah terjalin sekian lama. Sepatutnya dibina daripada apa sedia ada, bukan berusaha meruntuhkannya.

Oleh itu, secara peribadi saya beranggapan mereka bukan menyelamatkan PAS tetapi merosakkannya dari dalam.

Sebagai protes terhadap budaya perosak yang dibawa mereka, saya nyatakan secara terbuka, saya akan undi untuk kekalkan yang sedia ada. Saya menyeru kepada sesiapa yang bersetuju bahawa budaya yang dibawa golongan muda ini ditolak, seperti mana juga usaha ‘perubahan dan menyelamat’ yang kononnya mereka inginkan; melakukan seperti saya. Tolak melalui ‘KEKAL’, cogan kata yang membawa kemenangan di Sungai Limau. kekal budaya politik bersih dan sihat dan kekal saff pimpinan sedia ada.

BAHAYA POLITIK FITNAH

Dalam dunia politik, mungkin akan dikatakan soal fitnah perkara biasa! Ya, bagi politik yang tidak takut kepada kemurkaan Allah, bukan politik Islam lebih-lebih lagi dalam jemaah Islam. Ia mungkin biasa bagi Umno tetapi jangan sekali-kali dibawa dalam PAS!

Sepatutnya umat Islam dan khususnya mereka yang ingin memperjuangkan penghayatan Islam di dalam sistem hidupnya, akan berasa serik dengan budaya fitnah. Tidak cukupkah pengajaran dalam sejarah Islam bagaimana politik fitnah dan adu-domba telah menghasilkan luka yang kesannya dirasai beratusan tahun?

Lihat kisah Saidina Othman (RA). Walaupun beliau seorang daripada sepuluh yang dijanji syurga, beliau tetap tidak terlepas daripada budaya fitnah yang tersebar luas sehingga golongan muda dan bersemangat akhirnya bertindak melampaui batas.

Jika dikenang kembali bagaimana fitnah yang tersebar menghasilkan keadaan sehingga Muhammad bin Abu Bakar, anak Saidina Abu Bakar (RA) sendiri, menceroboh masuk ke rumah Othman dan sambil menarik janggut Othman, menghunus pedang untuk membunuhnya. Saidina Othman telah berkata, “kalau ayah kamu berada di sini pada hari ini, pasti dia tidak melayani saya sebegini...” Mendengar kata-kata Saidina Othman, maka Muhammad bin Abu Bakar tersentak lalu melepaskannya dan terus meninggalkan rumah Saidina Othman.

Kalau sahabat seperti Saidina Othman sendiri boleh difitnah, apakan lagi orang seperti kami. Hasil fitnah terhadap Othman maka berlakulah pembunuhannya yang menghasilkan pula perang antara Saidina Ali dengan Saidatina Aisyah pada mulanya dan diikuti pula perang dengan Muawiyyah.

Ini kemudiannya menghasilkan golongan Syiah Ali dan Khawarij yang akhirnya menyebabkan perpecahan yang sentiasa dimanfaatkan oleh musuh Islam hingga hari ini. Kesan fitnah ini dirasai hingga ke hari ini.

FITNAH SYIAH TERHADAP MAT SABU

Ada yang mendakwa ingin selamatkan PAS daripada pengaruh Syiah yang kononnya dibawa Mat Sabu! Saya nyatakan di sini, beliau bukan penganut fahaman Syiah. Perginya beliau ke Syria untuk menyeru Bashar supaya membuat pilihan raya dan jangan membunuh rakyat Syria.

Mat Sabu cuba memanafaatkan kenalan dan hubungan yang sedia terjalin sekian lama kerana Damsyik merupakan tempat terdapatnya pejabat Hamas dan juga Jihad Islami. Syria juga merupakan laluan untuk bantuan kepada Hisbullah yang diguna oleh Iran. Maka Mat Sabu pernah berurusan dengan kerajaan Syria dan mengenali mereka. Usaha mulia beliau diguna untuk menuduhnya sebagai seorang penganut fahaman Syiah.

Dakwaan dibuat oleh mereka kerana ingin menjatuhkan beliau sehingga sanggup menjadi pemanjang fitnah lidah Umno dalam PAS! Dakwaan Mat adalah Syiah dimulakan oleh pihak musuh dan malangnya dimanfaatkan oleh ‘orang PAS’ untuk menjatuhkannya. Jika benar dakwaan mereka ini, maka bawakan bukti dan laporkan kepada JK disiplin parti!

Tetapi jika tidak, maka ketahuilah ia tidak lain melainkan fitnah.

TIMBALAN PRESIDEN MESTI ULAMA?

Isu Timbalan Presiden mesti ulama adalah satu pandangan. Ia bukan satu ketetapan. Saya hormati pandangan itu tetapi ‘patek mohon derhaka’ di dalam Pemilihan Timbalan Presiden PAS.

Tuan Guru Nik Aziz juga sudah menyatakan sebaliknya. Kertas Mesyuarat Peranan Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat yang saya kongsi bersama tempoh hari juga telah nyatakan secara jelas bahawa Jawatan Pusat termasuk Presiden dan Timbalan Presiden adalah‘tanfizi’ iaitu pelaksana. Maka saya rasa ia sudah cukup jelas, ia bukan satu kemestian.

Apa yang penting bagi saya ialah Timbalan Presiden perlu membantu Presiden dalam urusan yang Presiden mungkin tidak sehebat. Barulah Timbalan Presiden membawa ‘added value’atau nilai tambah. Apa guna adanya Timbalan Presiden yang hanya mampu membuat apa yang mampu dibuat Presiden dan itu pun tidak sehandal Presiden?

Sebagai perumpamaan, apabila kita makan menggunakan sudu, pasti ia diregukan dengan garfu. Atau jika makan ‘steak’, pisau digandingkan dengan garfu. Jarang sekali sudu digandingkan dengan sudu kecil atau garfu dengan garfu kecil.

Maka bagi saya, Mat Sabu mempunyai kekuatan tersendiri dan akan membawa sokongan tambahan kepada PAS. Beliau mampu memperkukuhkan lagi hubungan PAS dengan PR dan sokongan daripada bukan Islam. Sambil itu Presiden Haji Hadi mampu menambahkan lagi sokongan daripada masyarakat Melayu dan golongan agamawan.

ISU SEBENAR YANG PERLU DIFIKIRKAN PERWAKILAN

Suasana fitnah ini semua mempunyai matlamat tertentu. Di sebalik laungan ‘selamatkan PAS’ dan ‘pertahan kepimpinan ulama’, kononnya; agenda yang tersirat ialah untuk membawa PAS keluar daripada PR. Ini bacaan saya. Banyak kali telah saya sebut.

Maka perwakilan perlu pilih di antara calon yang akan kekal dan kukuhkan PR dan calon yang ingin mengkaji semula hubungan PAS dan PR.

Kalau susah untuk dikenali, maka sekali lagi saya syorkan, KEKALkan sahaja yang sedia ada.
Jika berhasrat untuk tukar dua tiga AJK PAS Pusat, dengan muka baru yang lebih muda, tiada masalah. Khususnya menggantikan orang seperti saya yang tidak menyerlah sangat prestasinya. Tetapi apa yang ada secara umum sudah cukup baik sepertimana juga strategi yang diguna-pakai melalui PR. – 15 November, 2013. (TMI)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-80: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013 (2)
E-Buku IH-80: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013 (2)

No comments:

Post a Comment