PETIKAN Twitter Siti Nurhaliza semalam.
KUALA LUMPUR - Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza
Tarudin semalam membuat teguran secara terbuka terhadap Menteri Belia
dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi laman
Twitter peribadi miliknya.
Siti Nurhaliza, 34, memberitahu, dia terpanggil untuk membuat teguran
itu setelah membaca laporan sebuah akhbar mengenai kenyataan Khairy
Jamaluddin yang membidas bekas kapten skuad kebangsaan, Datuk Jamal
Nasir supaya tidak campur tangan dalam kemelut menteri itu dengan
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Teguran saya itu dibuat secara ikhlas tanpa ada kepentingan apa-apa.
"Apabila saya membaca kenyataan beliau dalam akhbar, sebagai orang
biasa, saya terpanggil untuk membuat teguran," katanya melalui khidmat
pesanan ringkas (SMS) kepada Kosmo!.
Semalam, Siti Nurhaliza menerusi laman Twitter miliknya, @CTNurhaliza11 mengkritik Khairy Jamaluddin dengan berkata:
"Sebagai menteri muda & being look up (menjadi perhatian), rasanya @Khairykj perlu menggunakan pendekatan yang lebih berhemah. Lantang tak perlu **a*** dengan yang lebih tua."
Penyanyi itu bagaimanapun, menyatakan tegurannya menerusi Twitter terhadap Khairy Jamaluddin itu adalah sekadar teguran ikhlas.
"Kalau boleh, saya enggan perkara ini menjadi kontroversi disebabkan saya ini seorang artis.
"Saya meletakkan diri sama seperti rakyat biasa dan percaya mesti ada
orang lain yang turut memberi teguran sama," jelasnya yang merupakan
penyokong tegar pasukan bola sepak Pahang.
Sementara itu, Khairy Jamaluddin ketika ditemui pada majlis Rumah
Terbuka Deepavali yang dianjurkan oleh Timbalannya, Datuk M. Saravanan
di sini semalam, bagaimanapun enggan mengulas mengenai isu tersebut.
Kemelut antara Khairy Jamaluddin dan FAM tercetus apabila beliau
lantang mengkritik badan induk bola sepak negara itu, antaranya
berhubung isu jualan tiket final Piala Malaysia dan kemuncaknya, teguran
terhadap Jawatankuasa Keselamatan FAM susulan penemuan pistol di
Stadium Shah Alam pada 3 November lalu.
Menteri itu kemudiannya menyatakan persetujuan untuk bersemuka dengan FAM bagi menyelesaikan kemelut antara kedua-dua pihak. (Kosmo).
No comments:
Post a Comment