Monday, November 11, 2013

Populariti Kelebihan Mat Sabu - Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri

 Shamsul Amri Baharuddin
SHAH ALAM - Populariti adalah sandaran terbaik buat penyandang Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu bagi mempertahankan kedudukan itu berbanding pencabarnya, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Kebangsaan (MPN), Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, Mohamad Sabu atau dikenali sebagai Mat Sabu lebih 10 tahun terkedepan daripada pencabarnya dalam arena politik.

Menurutnya, disebabkan pengalamannya dalam perjuangan parti serta kepimpinannya sangat luas, maka nama Mat Sabu lebih dikenali masyarakat.

“Mungkin kerana sikapnya yang suka turun padang, bersalam dengan orang ramai, bagi seminar dan forum menjadikan beliau lebih menonjol.
“Namanya juga sering disebut berbanding Mohd Amar. Mungkin Mohd Amar hanya terkenal di Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya Mohd Amar terpilih pada Muktamar Pas ke-59 yang berlangsung pada 22 hingga 24 November ini, mungkin kerana kesinambungan sebagai wakil daripada golongan ulama.

“Tambahan pastinya orang Kelantan akan berkempen untuk mengangkatnya dan mencari jalan agar pemimpin baru ini meneruskan perjuangan Pas.
“Selain itu, mungkin mahu membawa perubahan dalam pucuk pimpinan parti dengan kehadiran orang muda menjadi batu loncatan Mohd Amar untuk mengambil alih jawatan tersebut,” katanya.

Tambahnya, dari segi kepimpinan, Mat Sabu bukan calang-calang orang kerana beliau masih berjaya membawa parti walaupun kalah bertanding di Parlimen Pendang, Kedah kepada calon BN, Datuk Othman Abdul.

“Pas tidak menghukum beliau dengan kekalahan itu, sebaliknya mungkin diberi mandat baru. Dari segi kepimpinan dan popularitinya itulah menjadi pengukur kepadanya terus mengekalkan jawatan timbalan presiden pada muktamar nanti,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Asmuni Awi semalam dalam satu sidang media mengumumkan pertandingan dua penjuru bagi jawatan timbalan presiden antara Mat Sabu dan Mohd Amar. Pada masa yang sama, mengulas mengenai kedudukan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tiada pencabar, Samsul berkata, pengalaman pemimpin itu dalam selok belok parti dan kerajaan membantunya terus kekal.

“Pemimpin lain dilihat tidak bersedia lagi menggalas tugas sekiranya berada pada kedudukannya itu yang boleh disamakan dengan menteri-menteri di peringkat kerajaan.
“Selain itu, sekiranya Pas memerintah Malaysia, Hadi lah akan menjadi Perdana Menterinya,” katanya. (SH)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013
E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails