Sunday, November 03, 2013

PRK N20: Bil Letrik Rumah PM/TPM RM6,00-8,000 Sehari.


 
JERAI: Isu bil eletrik kediaman rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didedahkan di parlimen menjadi contoh paling digemari penceramah Pakatan Rakyat yang datang berkempen di Sungai Limau ini.

Sejak beberapa hari lalu, isu ini dimainkan penceramah sebagai menunjukkan sikap boros dan hipokrit pemimpin tertinggi negara yang pada masa lain menyeru rakyat berbelanja dengan berhemah. Ternyata ianya sedikit-sebanyak memberi kesan kepada pengundi di sini yang rata-ratanya berkerja sebagai petani dan pesawah padi.

Dewan Rakyat minggu lalu diberitahu bahawa kos perbelanjaan bil elektrik kediaman rasmi Perdan Menteri sepanjang tahun 2012 adalah sebanyak RM2.2 juta manakala bil air sebanyak RM300,000. Ini bermakna bil elektrik rumah perdana menteri untuk tempoh sejam adalah sebanyak RM250. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kasim berkata, perbelanjaan untuk bil air dan elektrik bagi kediaman perdana menteri dan timbalannya telah meningkat dalam tempoh dua tahun sebanyak 40 peratus daripada RM6,000 kepada RM8,000 setiap hari.

"Orang Sungai Limau boleh terima ke bil eletrik dan air rumah Najib dan Muhyiddin cecah ribuan ringgit sehari?

"Layakkah pemimpin begini turun turun Sungai Limau bagi nasihat supaya kita berjimat cermat," kata Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali ketika berceramah di Simpang Tiga Sungai Limau di sini.

"Ni Muhyiddin duk ada di sini, kalau tuan-tuan nampak dia lalu, tahan dia, tanya dia buat apa sampai bil macam tu sekali," katanya lagi.

Isu sama turut dibangkitkan Ketua Penerangan PAS Sungai Petani, Ustaz Syahril Long ketika berceramah di Sungai Limau Dalam.

"Dia mandi ke buat apa. Inikah pemimpin yang nak kita jadikan contoh? Di kala rakyat hidup penuh kesempitan, harga barang naik, pemimpin bersenang lenang habiskan duit rakyat," katanya.

Apapun ternyata isu ini mudah dihadam oleh pengundi di sini apabila perbandingan cara hidup pemimpin didedahkan kepada mereka.

Ia sedikit berbeza dengan isu-isu lain seperti pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan GST yang cuba dibawa sesetengah penceramah.

Antara isu lain yang juga dilihat berkesan di Sungai Limau adalah kenaikan 34 sen harga gula sekilogram serta isu harga padi yang tidak pernah naik sejak 23 tahun lalu. (Hrk)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails