Friday, November 29, 2013

Rejim Myanmar Biadap, NGO Islam Serah Memorandum



Suhaizan dan Mohd Azmi menunjukkan memorandum yang diserahkan kepada Kedutaan Myanmar. Foto Mohd Nasir Sudin.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia digesa menyatakan pendirian tegas berhubung  kekejaman, pembunuhan beramai-ramai dan penghinaan terhadap umat Islam yang berlaku di Myanmar.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat yang turut sama pada penyerahan memorandum di Kedutaan Myanmar juga meminta kerajaan Malaysia memberi tekanan kepada Myanmar terutamanya dengan memboikot Sukan Sea yang dijadual berlangsung dari 11 hingga 22 Disember di negara tersebut.

"Hari ini kita bersama-sama rakyat Myanmar menyatakan pendirian tegas kita berhubung dengan apa yang berlaku terhadap masyarakat Rohingya (Islam) yang telah dibunuh secara kejam.
"Selain itu kita turut mengecam rejim Myanmar yang membenarkan pihak Rakhine Budha yang menghina Islam dengan mengatakan Agama Islam itu haiwan, ini satu kenyataan yang biadap.
"Atas tindakan tersebut kita gesa Kerajaan Malaysia mengambil tindak tegas dan menyatakan pendirian atas penghinaan tersebut dan tekanan yang perlu dilakukan sekarang adalah menarik diri dari menyertai Sukan Sea," jelas beliau selepas menyerahkan memorandum selepas solat Jumaat tadi. Lebih 1,000 umat Islam bersama etnik Rohingya menyertai bantahan itu.

Beliau dalam masa yang sama turut melahirkan kekecewaan apabila pihak kedutaan enggan memberi kerjasama ketika penyerahan memorandum tersebut. Katanya, sebagai kedutaan yang berada di Malaysia, Myanmar seharusnya menghormati rakyat negara ini yang mewakili masyarakat Myanmar dalam menyatakan pendirian mereka.

"Kita telah menyerahkan memorandum tetapi cara penerimaan itu saya amat tidak berpuas hati, hanya meletakkan di dalam peti surat.
"Sepatutnya sebagai sebuah negara yang dihormati dan kita sebagai rakyat Malaysia, wakil Kerajaan Myanmar menemui kita dan menerima memorandum yang kita serahkan itu dan bukannya seperti kita pos surat, tidak keluar menemui kita langsung," sambung beliau.

Sementara itu Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid meminta agar Asean tidak boleh membiarkan Myanmar meneruskan polisi menindas dan mewujudkan ketegangan agama.

Jelasnya tindakan Myanmar yang menghina Islam dengan melabelkan Islam sebagai agama haiwan ketika memprotes lawatan delegasi OIC ke Myanmar baru-baru ini adalah tindakan biadap.

Beliau yang turut menggesa agar Malaysia menarik diri dari menyertai Sukan Sea yang baginya akan mengancam keselamatan atlet Malaysia (Islam) terhadap sikap kerajaan Myanmar yang anti Islam. (Hrkhdaily)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails