Kredibiliti dan daya kepimpinan Allahyarham Azizan sukar dicari ganti.
Kesukaran PAS mencari pengganti yang mampu menyaingi kredibiliti dan daya kepimpinan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai
Limau Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak adalah antara punca parti
itu mengalami kekurangan majoriti yang besar pada pilihan raya kecil
(PRK) semalam.
Selain itu, pendekatan kempen Barisan Nasional (BN) yang banyak bertumpu kepada kempen bersemuka serta santai, juga antara
faktor yang menyebabkan PAS kekurangan 61% majoriti berbanding yang
dipungut pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei lepas, menurut
penganalisis politik.
Pada PRK DUN Sungai Limau semalam, calon PAS Mohd Azam Abd Samat menang
dengan majoriti 1,084 berbanding majoriti 2,774 yang diperoleh bekas
penyandang kerusi itu, Azizan, yang juga bekas menteri besar Kedah.
Mereka juga berpendapat perkembangan itu disebabkan sokongan akar umbi
di kawasan ini tidak begitu yakin kepimpinan Pesuruhjaya PAS Kedah yang
baharu Datuk Mahfuz Omar, yang menggantikan Azizan serta juga populariti
dan keperibadian Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir. Sementara masyarakat Cina kawasan ini yang sebelum ini amat selesa
dengan Azizan kini dilihat mula mengubah corak pengundian mereka kembali
menyokong BN.
Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia
(UUM), Md Shuib Shukri berkata masyarakat DUN Sungai Limau dilihat masih
lagi terkesan dengan kehilangan Azizan yang amat disenangi penduduk
pelbagai bangsa di sini.
Selain pendekatan bersemuka yang dilakukan calon BN Dr Ahmad Sohaimi
Lazim semasa berkempen, jentera BN secara keseluruhan memberikan
tentangan hebat, katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini. Beliau berkata tindakan kepimpinan PAS negeri yang sebelum ini
cenderung mengkritik Azizan mungkin juga mewujudkan kelompok pengundi
dalaman PAS yang tidak "mesra" dengan kepimpinan baharu PAS negeri.
"Pengalaman 'hitam' yang dilalui PAS, dengan wujudnya kelompok pemimpin
mereka sendiri yang ingin menjatuhkan Azizan masih diingati oleh
anggota dan pemimpin PAS Jerai, dan ini memungkinkan mereka tidak
mengundi PAS. Menyokong tetapi tidak mengundi mereka dalam PRK semalam,"
katanya.
Md Shukri berkata kelemahan di peringkat akar umbi PAS negeri ini bukan
sahaja menjadikan kubu kuat mereka bertambah mudah ditembusi BN, malah
memudahkan kawasan-kawasan yang lain ditawan BN.
"Contohnya di PDM (Pusat Daerah Mengundi) Bukit Besar dan Bukit Choras,
dua kawasan kubu kuat PAS. Di Bukit Besar, PAS kali ini hanya mendapat
1,557 undi berbanding 1,624 pada PRU13.
"Di Bukit Choras pula PAS menang dengan 695 undi berbanding 726 undi
pada PRU13. Secara keseluruhannya BN berjaya menembusi peti undi tegar
PAS, dengan meningkatnya jumlah undi diperoleh," katanya.
Selain itu, Md Shukri juga berkata masyarakat tempatan termasuk
cendekiawan agama menerima baik kepimpinan Mukhriz yang juga Pengerusi
BN Kedah.
"Lihat sahaja Pondok Pak Ya (Sekolah Menengah Agama Taufikiah Khairiah
Al-Halimiah) di Bukit Besar, telah berjaya mengadakan program-program
kerajaan yang diketuai BN dan disambut baik pengurusan pondok hinggakan
aktiviti dapat diadakan di kawasan pondok itu sendiri yang selama ini
begitu terkenal dengan kelahiran ramai tokoh PAS," katanya.
Bagi Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya
(UMCEDEL) Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman pula, kejayaan BN untuk
menambah hanya 4.4% undi berbanding PRU yang lepas adalah suatu
perkembangan yang harus diberi perhatian.
Pada PRK semalam, undi yang diperoleh BN ialah sebanyak 10,985 undi
berbanding 10,520 pada PRU13 pada Mei lepas dan juga meningkat daripada
8,816 undi pada PRU12. Bagaimanapun BN tidak sepatutnya berbangga dengan penambahan undi itu
kerana parti itu mempunyai kelebihan dari segi kekuatan jentera.
Dekan Fakulti Sastera & Sains Sosial UM berkata corak pengundian
semalam dilihat menunjukkan BN dan PAS hanya mampu mengukuhkan sokongan
daripada penyokong tegar masing-masing.
PAS dilaporkan mempunyai 9,499 anggota di DUN Sungai Limau dengan keanggotaan BN pula 9,230 orang. Mohamad Redzuan berkata sudah tiba masanya bagi BN untuk cuba lebih
memahami sentimen penduduk tempatan, khasnya di kawasan penyokong PAS,
berbanding menggunakan pendekatan menjanjikan projek pembangunan dalam
usaha menarik mereka mengubah sokongan kepada parti komponen itu.
Di sebalik kemenangan PAS, populariti parti itu di kawasan ini susut
dengan kemenangan majoriti PAS menurun daripada 3,212 undi pada PRU12
kepada 2,774 pada PRU13, dan seterusnya kepada 1,084 pada PRK kali ini. –
Bernama, 5 November, 2013.
No comments:
Post a Comment