KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat menyifatkan kemenangan calon PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK)
Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau semalam sebagai “kemenangan di
hari pertama tahun hijrah 1435H”.
Dalam entri terbaru di laman facebook beliau, Tuan Guru Nik Aziz
memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT dengan kemenangan itu dan
merakamkan tahniah kepada semua petugas, penyokong dan pengundi.
“Syukur Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian ke hadrat Allah SWT
yang telah mengurniakan kemenangan kepada calon PAS di Dun Sungai Limau
Kedah kelmarin (semalam).
“Tahniah saya rakamkan kepada semua petugas, penyokong dan pengundi
PAS yang ternyata telah menolak tawaran wang ringgit semata-mata untuk
kekal istiqamah bersama-sama dengan PAS.
“Kemenangan di hari pertama tahun hijrah 1435H diharapkan menjadi
langkah kanan kita untuk terus melakar sejarah gemilang di pentas
politik negara, Insya Allah,” ujarnya.
PAS mengekalkan kerusi Dun Sungai Limau dengan majoriti 1,084 undi. Calon PAS Ustaz Mohd Azam Abd Samat, 37, memperoleh 12,069 undi
mengalahkan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, yang mendapat 10,985
undi.
Pada PRU ke-13 Mei lalu, Tan Sri Ustaz Azizan Razak (PAS)
memenangi kerusi Dun Sungai Limau dalam pertandingan empat penjuru
dengan majoriti 2,774 undi. Keputusan rasmi PRK Dun Sungai Limau diumumkan Pegawai
Pengurus Pilihan Raya, Abdul Rashid Othman di pusat penjumlahan undi di
Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan kira-kira
jam 9.00 malam.
Daripada 23,249 pemilih berdaftar yang keluar mengundi, 145 kertas undi diisytiharkan rosak. Dengan keputusan ini, PAS mengekalkan kerusi Dun itu sejak pilihan raya umum 1995. (Hrkh)
Lihatlanjut..
E-Buku IH-79: PRK Sg Limau Kedah
semoga perjuangan islam ini akan sentiasa berkobar di dalam jiwa kita bersama
ReplyDelete