KOTA BHARU: Bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendapat Anugerah Khas Ikon Anak Muda Kelate oleh kerajaan negeri.
Anugerah julung kali diadakan itu sempena program Penganugerahan Tokoh Anak Muda Kelate 2013 yang diadakan dua tahun sekali. Majlis yang penuh bersejarah itu diadakan di Dewan Teratai, Kota Darulnaim di sini tengah hari tadi.
Anugerah berkenaan diberikan kepadanya memandangkan beliau sentiasa menjadi idola pada anak muda tanpa mengira bangsa di negara ini. Sementara itu, pemain berbisa pasukan The Red Warriors, Mohammad Badri Mohd Radzi, atau lebih dikenali sebagai ‘Piya’ dianugerahkan Tokoh Sukan. Penyerang di posisi ‘attacking midfielder’ itu juga turut mendapat jolokan ‘Kapten Marvel’.
Sementara itu Tokoh Ulama Muda pula dianugerahkan kepada pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Ustaz Mohd Asri Mat Daud, Tokoh Akademik pula Prof Madya Dr Irfan Mohammad. Selain itu Tokoh Usahawan, Syeikh Kyairder Syamzarey Wan Idris dan Anugerah Khas Murabi Anak Muda Kelate pula dianugerahkan kepada allahyarham Datuk Yahya Othman.
Kerajaan Kelantan turut menghadiahkan wang tunai RM2,000, pakej umrah, plak dan sijil yang ditanda tangani oleh Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob kepada empat orang tokoh tersebut. Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat, Mumtaz Md Nawi dan wakil-wakil rakyat. Ustaz Ahmad ketika berucap pada majlis perasmian itu, berkata kerajaan negeri menganugerahkan beberapa tokoh kepada golongan muda dengan harapan mereka menjadi contoh pada masyarakat khasnya anak muda.
“Kehebatan anak muda dalam beberapa kategori telah dicungkil untuk diberi anugerah khas pada mereka semoga anak muda yang lain ingin menjadikan contoh yang sama,” ujarnya.
Sambungnya, kerajaan negeri tidak akan membiarkan golongan itu bersendirian tanpa memandu arah pada jalan kebaikan kerana mereka adalah bakal pentadbir negeri dan negara. Tegasnya, apa lagi golongan ini mudah dibentuk, ke arah mana mereka ingin dibawa.
“Sejarah Islam di zaman Rasulullah telah membuktikan anak-anak muda sebagai perisai kekuatan Islam seperti Saidina Ali, Saidina Omar, Abu Bakar dan sebagainya.
“Sahabat baginda ini sewajarnya menjadi contoh bagaimana kehebatan darah muda mereka dimanfaatkan untuk Islam dan masyarakat,” ujarnya.
Turut berucap pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Dr Ramli Mamat.
No comments:
Post a Comment