Friday, November 08, 2013

Tuan Ibrahim Tanding Naib Presiden


SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man  mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden parti itu dalam Muktamar Pas Ke-59, pada 22 November ini.

Beliau berkata, keputusan itu dilakukan atas kehendaknya sendiri tanpa dipengaruhi individu lain.

"Setelah meneliti ketiga-tiga jawatan yang saya dicalonkan, antara AJK, Naib Presiden dan Timbalan Presiden, maka saya dengan rendah diri menawarkan diri untuk menerima pencalonan sebagai Naib Presiden dalam Muktamar kali ini.

"Keputusan untuk bertanding jawatan ini adalah keputusan yang diambil diri saya sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana- mana pihak. Ia lebih kepada penilaian diri dengan kemampuan melaksanakan tugas yang diamanahkan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan Tuan Ibrahim adalah calon popular untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa juga turut berkata, beliau hanya akan menerima atau menolak tawaran jawatan nombor dua parti itu bergantung kepada keputusan Tuan Ibrahim.

Selain itu, seorang lagi Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang turut mendapat pencalonan untuk jawatan tersebut tetapi membuat keputusan menolaknya dan selesa untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya.

Manakala Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah masih belum memberikan jawapan untuk menyertai penyandangnya Mohamad Sabu atau tidak.

Dalam perkembangan yang sama, Tuan Ibrahim turut berkata,  memperkukuhkan ukhwah di dalam PR adalah faktor penting yang perlu untuk membuat keputusan terhadap jawatan yang ditawarkan.

"Pas kini berhadapan dengan cabaran besar masa depan dan muafakat dalam PR yang perlu diperkukuhkan serta ukhuwah jamaah yang perlu diperkasakan, antara faktor penting dalam penilaian kemampuan menerima atau tidak sesuatu jawatan itu," jelasnya lagi.

Pesuruhjaya Pas Pahang itu juga turut mengingatkan ahli Pas yang terdiri daripada tiga kumpulan utama iaitu aktivis, ulama, dan profesional tidak termasuk dalam perangkap yang dibina musuh untuk memecahbelahkan parti dan juga PR.

"Akhirnya saya ingin berpesan agar jangan sesekali kita termasuk dalam perangkap yang dipasang oleh musuh bagi memecah-belah antara kita dan jangan pula kita membenarkan apa yang musuh tuduh kepada kita.

"Setiap orang perlu memainkan peranan sebagai faktor penyatu parti. Menyatukan parti tidak harus diletakkan di atas bahu mana-mana individu tertentu sahaja," katanya. (TMI)


Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013

E-Buku IH-77: Pemilihan Kepimpinan PAS 2013

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails