Presiden PAS
Sepuluh
arahan itu menyentuh peranan yang perlu dilaksanakan oleh Dewan,
Lajnah, Badan Perhubungan PAS negeri dan Wilayah Persekutuan bagi
merealisasikan tema “Rahmat Untuk Semua”.
Sepuluh arahan yang terkandung dalam ucapan dasar Presiden itu adalah:
- Semua pihak dalam Dewan, Lajnah, Badan Perhubungan PAS Negeri dan Wilayah serta Kawasan mestilah mempunyai kefahaman yang jelas terhadap tema ”RAHMAT UNTUK SEMUA”, dan seterusnya bertindak merangka perancangan dan strategi pelaksanaan agar intipati ini dapat berada dalam masyarakat dan difahami bahawa dasar Islam ini dibawa oleh PAS. Jadikanlah tema ini sebagai sesuatu yang benar bernafas, bukan sekadar slogan kosong yang sedap didengar sebagai halwa telinga untuk Muktamar semata-mata.
- Badan Perhubungan PAS Negeri-Negeri dan Wilayah Persekutuan juga perlu lebih dinamik dalam gerakerja tersusun yang mempunyai sasaran bulanan dan tahunan, menambahkan ahli yang berkualiti, mendekati medan baharu dalam masyarakat, dan mempunyai sekurang-kurangnya 50% program di kalangan ahli baharu atau masyarakat awam di luar lingkungan ahli jamaah. Penentuan petunjuk prestasi perlu dibangunkan, sebagai sasaran kerja yang lebih terarah. Kukuhkan organisasi parti dengan berbagai ilmu pengurusan, kepimpinan perlu dibajai dengan tarbiyah untuk membentuk diri seterusnya mengikhlaskan niat perjuangan. Usaha yang berterusan untuk mengaktifkan ILHAM, dan modul-modul pembinaan diri ahli di berbagai peringkat mestilah diperkukuhkan dengan menjadikannya sebagai salah satu sasaran tahunan.
- Sabah dan Sarawak adalah rakan penting dalam pembentukan Malaysia. Rakyat di sana telah bersama dalam referendum yang melahirkan negara Malaysia, maka hargailah hasil yang turut sama dibina oleh rakyat Sabah dan Sarawak ini. Maka seluruh jentera PAS di medan ini perlulah berusaha gigih untuk menyedarkan rakyat tentang hak mereka ini supaya tidak dibuli oleh UMNO-BN disetiap masa dan ketika. Badan Perhubungan PAS di Sabah dan Sarawak pula perlulah melengkap dan memperkemaskan organisasi, mempertingkatkan kerja dakwah, menghilangkan phobia masyarakat di sana terhadap PAS, dan seterusnya merakyatkan PAS supaya diterima sebagai parti yang berupaya menjadi tempat bergantung mereka.
- Dewan Ulama pula merupakan nadi denyutan jamaah yang perlu bertindak pantas menjadi jurubicara jamaah dan menjelaskan isu di sekitaran dengan merujuk kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah, ijma dan qiyas. Bahan-bahan penerbitan dalam pelbagai rupa dan bentuk yang bersesuai dengan masyarakat perlu lebih dinamik dan bertenaga menjelaskan pendirian jamaah khususnya menterjemahkan Islam bagi menangani masalah semasa, juga membantu kerajaan negeri melaksanakan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh alam. Perbincangan ilmiah dan seminar khusus dalam memahami persoalan maqasid syariah, siyasah syari’yyah, perlu dijalankan dari masa ke semasa untuk menangani ketidakfahaman dalam masyarakat kita ini dan seterusnya menyediakan penyelesaian yang sesuai untuk sepanjang zaman.
- Dewan Pemuda pula mestilah sentiasa dinamik, melengkapkan diri dengan ilmu Islam dan kefahamannya, serta bersedia menyambung legasi perjuangan kepimpinan terdahulu sehingga mampu untuk melakukan islah di dalam masyarakat Malaysia yang masih sarat dengan berbagai fikrah yang berlawanan dengan Islam. Inovasi baharu dakwah perlu diterokai. Pemuda juga perlu mendepani isu semasa nasional, tempatan dan antarabangsa; dan mampu mengenengahkan permasalahan ummah dan mencadangkan penyelesaiannya dengan menonjolkan Islam sebagai rahmat untuk sekalian alam. Program siyasah yang bersifat inklusif perlulah diterokai untuk mendekatkan diri kepada masyarakat awam di luar sana.
- Dewan Muslimat perlulah mendepani berbagai isu dalam bahasa yang mudah dan menyentuh hati nurani masyarakat dalam negara kita ini, bahkan menerokai isu-isu antarabangsa. Program dalaman seperti tarbiyah wajar dimantapkan lagi, sejajar dengan keperluan semasa terutamanya untuk berdepan dengan zaman penggunaan pelbagai media supaya Dewan Muslimat berperanan besar dalam masyarakat terkini yang meletakkan kaum wanita menjadi penentu kepada wajah umat dan negara.
- Dewan Himpunan wajar untuk diperkembangkan peranan mereka dengan mempunyai modul-modul latihan khusus kepada ahlinya. Modul ini perlu dibangunkan, untuk melahirkan ahli Dewan Himpunan yang mampu bergerak dengan lebih baik lagi sebagai satu dari sayap parti yang penting, menjadi jambatan atau pintu yang menghubungkan rahmat Islam perjuangan PAS kapada kaum bukan Islam.
- Kawasan dan Cawangan perlu mempunyai sasaran kerja yang jelas yang dan dipantau oleh pimpinan negeri. Zaman mesyuarat tanpa fail dan tidak berkala itu adalah sudah berlalu. Program dalaman seperti program tarbiyah dan latihan mestilah menjadi agenda yang penting dalam aktiviti Kawasan dan Cawangan.
- Ahli dan kepimpinan PAS yang memikul amanah sebagai Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Majlis dan Anggota Lembaga Pengarah, Ketua Kampung dan semua yang berkaitan perlulah melaksanakan amanah dengan sepenuhnya mengikut adab dan batas-batas akhlak, kerana peranan mereka yang telah dipilih oleh rakyat ini adalah sebagai wajah depan PAS. Prestasi mereka akan dipantau, dinilai dan akan dibantu oleh jemaah sekiranya terdapat kelemahan dalam melaksanakan tugas mereka. Semua dari kalangan mereka ini akan dijemput menyertai forum, perbincangan meja bulat, bengkel dan sesi latihan yang bersesuaian supaya lebih mahir dan dapat membantu dalam menjalankan tugas masing-masing.
- Ahli – ahli PAS secara keseluruhannya perlulah mempunyai disiplin dan akhlak yang tinggi, merapatkan saf ahli, mempunyai hubungan dengan Allah yang kuat, berada dalam suasana sentiasa dahagakan ilmu, dan seterusnya terlibat dalam aktiviti majlis ilmu, usrah, tamrin, muqayyam dan sebagainya dengan pelbagai pendekatan yang sesuai dengan waqi’ dan keupayaan masing-masing. (Hrkh)
No comments:
Post a Comment