Tuesday, December 03, 2013

Dr Mujahid: Dinamika Kelompok Dalam PAS

oleh Dr Mujahid
 
Bahtera PAS pasca muktamar ke-59 
Mukktamar baru sahaja berlalu dan semua aktiviti seakan kembali normal bagi pimpinan dan ahli PAS. Kini mata tertumpu pada Perhimpunan Agung Umno walaupun pemilihan sudahpun dilakukan.

Namun tulisan saya bukan tentang Perhimpunan Agung Umno, saya lebih berminat untuk melihat pasca muktamar PAS kerana suasana kehadiran muktamar ke-59 baru-baru ini dipenuhi dengan pelbagai kempen dalaman oleh pihak-pihak tertentu yang boleh disifatkan sebagai agresif.

Saya menamakan suasana ini sebagai dinamika kumpulan dalam usaha untuk meletakkan kedudukan masing-masing dalam hieraki parti. Namun apa yang lebih utama dalam dinamika kelompok ini ialah kesannya yang jika tidak dikawal dengan baik oleh kepimpinan tertinggi akan berpotensi menjadi barah yang melemahkan dan membunuh parti.

Implikasi

Proses pembarahan tidak akan berlaku dengan cepat ia umpama 'killing me softly' dan apa yang kita saksikan dalam kelincahan kempen sebelum muktamar adalah asakan kumpulan untuk mendapat pengiktirafan melalui para perwakilan.

Pada waktu yang sama ia adalah tanda kematangan dan perkembangan PAS, malangnya ia juga tidak berakhir dengan berakhirnya muktamar. Kesan keputusan muktamar tidak menyenangkan pihak tertentu dan mereka meneruskan asakan dalam pembentukan barisan kabinet khususnya di peringkat Dewan Pemuda.

Ia menandakan permulaan kepada satu cabaran besar kepimpinan Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS dan pasukannya berhadapan dengan proses perkembangan dan konflik dalaman parti.

Apa yang membimbangkan para pemerhati yang mahu melihat PAS maju ke hadapan ialah konflik dalaman berterusan akan mengalihkan tumpuan untuk membina kekuatan parti bagi persediaan PRU ke-14.

Setiap kelompok akan mengukuhkan lagi kedudukannya pada pemilihan dua tahun lagi dan isu-isu seperti perlaksanaan hudud dan perundangan Islam akan menjadi polemik dalaman yang pada hakikatnya tersemat mesej siapakah yang lebih kuat nadanya memperjuangkan isu-isu ini.

Dalam hal ini, pertembungan ide-ide pengoperasian Islam dalam konteks kuasa akan berterusan lewat garis-garis keras dan sederhana dalam perdebatan parti.

Ia akan memberi kesan kepada strategi parti kerana ide-ide itu akan memberi impak kepada persoalan komitmen dengan Pakatan Rakyat, persoalan demokrasi dan konteks dinamika kepelbagaian kaum di negara ini.

Terpulanglah kepada kepimpinan parti untuk mengendalikan gelora yang tidak dapat dielakkan ini mengikut perkiraan dan pertimbangan siyasah syarieyah yang bijak.

Tenang setelah gelora?

Tiada yang tenang dalam kehidupan sesebuah organisasi politik kerana organisasi kepartian 'bernyawa' atas gelora ini. Ia akan menguji kepimpinan kerana memimpin dalam cuaca tenang tidak memerlukan kehebatan manakala memimpin dalam ribut dan lautan bergelora memerlukan seseorang itu menggunakan segala kemahiran kepimpinan yang ada.

Tim kepimpinan yang akan membawa cabaran ini tidak boleh mengambil sikap 'sweep under the carpet' seperti lazimnya dibuat oleh mereka yang lebih suka 'lari' daripada masalah, mereka terpaksa berhadapan dengan masalah dan untuk melakukan demikian ia memerlukan pemimpin yang berisiko tinggi meletakkan popularitinya terancam.

PAS tidak memerlukan pemimpin yang popular dalam mengharungi cabaran pasca muktamar ke-59, jika ia serius untuk melakar masa depan yang cerah dalam politik tanah air.

Pemimpin yang bertindak atas memenuhi kehendak kelompok tertentu dan tiada data yang bebas dan berkecuali untuk membuat keputusan hanya akan menyuburkan barah yang sedia ada sehingga pemimpin itu sendiri sendiri akan terancam kerana barah ini.

Pulau Impian
Istilah 'Pulau Impian' menjadi sandaran harapan kepada mangsa gelora badai dan ribut taufan yang melanda sesebuah perjalanan.

Ia harapan kepada kelegaan dan idaman kepada ketenangan dan kerehatan. Walaupun ia satu harapan namun dalam melalui badai perjuangan, istilah rehat dan pulau impian hanyalah motivasi untuk melaui satu ujian kepada satu ujian yang lain.

Sebesar ujian ialah mengekalkan bahtera terus dikemudi dalam lautan ganas, nakhoda senantiasa meletakkan orangnya di tempat yang tepat dan menyemarakkan semangat untuk terus fokus sampai ke destinasi.

Kepimpinan pasca muktamar perlu menjadi nakhoda dan pengemudi yang cekap dan tiada kompromi kepada unsur yang menghalang fokus perjalanan ini.

Kepimpinan yang mementingkan populariti dan suka ambil jalan mudah tanpa sistem membuat keputusan yang adil dan bebas untuk menguruskan parti, hanya akan menyuburkan perbalahan dan bahtera mungkin akan tenggelam.

Dalam hal ini, saya sudahpun melihat perjalanan kali ini akan menjadi mencabar, parut terluka perlu masa yang lama untuk sembuh, pemimpin tak perlu menikmati masa bulan madu kerana seharusnya mereka sudahpun bekerja sejak kelmarin lagi. Kepada semua kepimpinan PAS disemua peringkat, selamat belayar....
DR MUJAHID YUSOF ialah ahli Parlimen Parit Buntar dan pengerusi Forum Dialog Antara Agama Asia Tenggara.

Buku terbaru beliau Berdialog Dengan Gereja: Sebuah Travelog Kedamaian memuatkan catatan pengalaman selaku pengerusi lujnah perpaduan PAS yang berdialog dengan lebih 30 gereja di seluruh negara sejak isu kalimah Allah meletus.
Lihat juga..
E-Buku IH-18: 'PAS & Pemikiran Dr Mujahid'

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails